KOTA KINABALU: Empat alat pengesan radioaktif dikenali sebagai sistem pemantauan air spektrum gamma dengan anggaran kos keseluruhan bernilai RM2.4 juta akan dipasang di empat lokasi di seluruh negara secara berperingkat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sistem pemantauan yang pertama telah dipasang di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hujung Jun lalu.
Beliau berkata, sistem yang dipasang di jeti UMS itu adalah peralatan pertama yang dipasang di Malaysia dan selepas ini kerajaan berhasrat memasang empat lagi sistem sebegitu di beberapa lokasi iaitu Sandakan, Johor, Pahang dan Langkawi.
“Peralatan ini membolehkan kita memantau tahap radioaktif dalam air laut seperti yang berlaku di Fukushima, Jepun yang melakukan pelepasan air (radioaktif) terawat ke dalam laut.
“Orang ramai bimbang tentang tahap radioaktif di lautan kita dan itu sebabnya kita pasang peralatan ini di perairan negara,” katanya selepas melawat stesen pemantauan air spektrum gamma di UMS hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Pegawai Sains Jabatan Tenaga Atom (JTA), Rozman Mohd. Tahar.
Menurut Lih Kang, setiap satu sistem memerlukan kos kira-kira RM600,000 dan agensi, JTA di bawah kementeriannya bertanggungjawab dalam pemasangan sistem tersebut.
“Dengan pemasangan sistem itu, ia membolehkan kita mengesan dengan pantas dan lebih awal sekiranya ada perubahan tahap radioaktif di perairan negara ini. Sistem itu membolehkan sisa radioaktif dikesan sejauh 130 radius.
“Di rantau ini, Vietnam dan Singapura juga telah memasang sistem sebegini dan kita adalah negara ketiga di rantau Asean. Kita juga akan berkongsi maklumat dengan semua negara sekiranya sisa radioaktif dikesan di perairan ini,” katanya.
Mengulas tentang pemilihan UMS sebagai lokasi pertama pemasangan sistem tersebut, Lih Kang berkata, JTA melakukan pemilihan lokasi yang bersesuaian dengan mengambil kira kedudukan Sabah yang begitu hampir dengan China.
Pemasangan sistem itu bukan disebabkan pelepasan air radioaktif terawat di Fukushima, Jepun tetapi, ia bagi memantau semua negara terdekat seperti China dan Taiwan.
Jelas beliau, sisa radioaktif tidak dapat dikesan dengan mata kasar maka, penggunaan sistem sebegini penting untuk memastikan tahap air di perairan negara tidak tercemar dengan sisa radioaktif.
Baru-baru ini, Jepun dilaporkan mula melepaskan air radioaktif yang dirawat daripada loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara dan Hong Kong. –UTUSAN