‘Dulu gaji polis kecil, nak kahwin pun kena pinjam duit’ - Utusan Malaysia

‘Dulu gaji polis kecil, nak kahwin pun kena pinjam duit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Dahulu gaji saya ketika mula be­kerja hanya RM200 pada 1980, bayangkan nak kah­win perlu memin­jam namun ketika itu ko­s sara hidup tidak seperti sekarang. Apa-apa kita gunakan bas dan penempatan kuarters disediakan.

“Bagaimanapun kini kebanyakan anggota terpaksa menyewa rumah dengan harga melebihi elaun perumahan yang diberikan. Ini belum kira kos minyak, perbelanjaan rumah dan sebagainya”.

Demikian maklum balas Presiden Bekas Pesara Polis Malaysia, Mokhtar Omar kepada Utusan Ma­laysia mengenai laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji elaun tertentu khusus­nya mereka yang bertugas di bandar-bandar besar.

Sehubungan itu, beliau beranggapan amat wajar dikaji semula elaun khususnya bagi anggota yang bertugas di bandar besar kerana kos sara hidup yang tinggi.

Katanya, selain pe­nam­bahan elaun, beberapa faktor lain juga perlu diberi penekanan antaranya menyediakan kuarters yang selesa kepada anggota dan pegawai.

Jelasnya, persekitaran­ tempat tinggal yang kondusif juga membantu me­ningkatkan prestasi kerja anggota polis.

Namun menurutnya, setiap anggo­ta dan pegawai perlu mengamalkan kehidupan yang sederhana dan setimpal dengan pendapatan.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kajian mengenai elaun itu perlu kerana terdapat anggota dan pegawai yang bertugas sebagai pakar khas antaranya di istana yang terpaksa membeli pakaian dan barang khusus selain menampung kos sara hidup tinggi.

Beliau juga menafikan bahawa isu gaji kecil anggota serta pegawai polis bukan faktor utama segelintir mereka terlibat dengan salah laku integriti termasuk rasuah.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat segelintir anggota polis yang mengamalkan gaya hidup mewah berlebihan yang tidak setimpal dengan gaji sehingga tidak dapat menampung perbelanjaan seharian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya