LUMUT: Suhaila Akasah, isteri kepada seorang mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, percaya doa orang ramai memberi kekuatan kepadanya dan keluarga mangsa lain untuk berhadapan dengan kesedihan dialami.
“Ramai yang mengatakan saya kelihatan tabah, sebenarnya saya sendiri tidak tahu dari mana saya memperoleh kekuatan ini.
“Tetapi, apabila saya baca komen dalam media sosial, didapati ramai yang mendoakan supaya keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini.
“Saya percaya semua doa ini (dimakbulkan Allah) membolehkan kami terus tabah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Desa Manjung Raya di sini semalam.
Suhaila, 46, adalah balu kepada Komander (B) Shaharudin Amir Omar, 49, salah seorang daripada 10 yang maut dalam nahas pesawat di Elmina, Khamis lalu.
Jenazah Shaharul Amir yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diusung mengikut istiadat ketenteraan dan selamat dikebumikan di Tanah Persemadian Islam Fasa 3C Seri Manjung di sini, kelmarin.
Terdahulu, dia menerima cek RM2,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi bayaran faedah pengurusan mayat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perkeso Perak, Roslan Pilus.
Selain bayaran tersebut, Suhaila dan seorang anaknya, Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 19 tahun akan menerima bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) setiap bulan sepanjang hayat.
Tiga lagi anaknya berusia 17, 15 dan 12 tahun pula menerima FOT setiap bulan sehingga mereka berusia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama dan semua bayaran itu mula berkuat kuasa bulan ini.
Suhaila bersyukur dan tidak menyangka bantuan diperolehi begitu cepat, yang secara tidak langsung membantu mengurangkan beban kewangan keluarga memandangkan beliau hanya suri rumah tangga dan kini hilang tempat bergantung.
Katanya, sejak berkahwin dan kemudian melahirkan anak pertama, beliau sudah tidak lagi bekerja dan tentu sesuatu yang sukar untuk kembali bekerja, tambahan pula dengan keadaan anak sulungnya yang OKU.
Dia juga bersyukur emosi anak-anaknya stabil dan sudah boleh menerima hakikat bahawa bapa mereka tiada di sisi buat selama-lamanya.
Jelasnya lagi, anak sulungnya dibawa menyaksikan pengebumian Allahyarham kelmarin dan kelihatan air matanya mengalir, sekali gus menunjukkan dia juga memahami bahawa bapa mereka sudah tiada.
Dia percaya anak-anaknya mampu mengawal emosi masing-masing kerana mereka sudah matang dan meningkat dewasa. – UTUSAN










