SEREMBAN: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 17 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh dan mendatangkan kecederaan parah pada 2016.
Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Taufik Hidayah Abdullah, 34, yang merupakan seorang bekas pekerja kilang selepas perbicaraan penuh dijalankan dan pemuda itu gagal menimbulkan keraguan munasabah atas kedua-dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan manakala pertuduhan kedua penjara lapan tahun yang berjalan secara berasingan serta lima sebatan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama dua lagi individu yang sudah meninggal dunia melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, Salman Raja Abdullah yang berusia 37 tahun ketika kejadian berlaku.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam, 7 Ogos 2016 di Jalan Besar Papan Tanda, Taman Angsamas, Mambau, di sini.
Oleh itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Bagi pertuduhan kedua pula, Taufik Hidayah didakwa menetak seorang lagi lelaki berusia 46 tahun sehingga mendatangkan kecederaan parah menggunakan parang berhampiran dengan pintu masuk Jalan Indah Water, Mambau.
Tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga pekerja kilang bersama dua rakan menetak birasnya sehingga mati dan seorang lagi lelaki sehingga mengalami kecederaan parah dengan menggunakan parang.
Ia berpunca daripada perselisihan faham selepas perbincangan mengenai isu penjagaan anak hasil perkahwinan antara tertuduh dengan adik ipar kepada si mati.
Selepas kejadian, tertuduh melarikan diri ke Kedah sebelum ditangkap pada 18 September 2017. – UTUSAN










