PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam di sini menetapkan hak penjagaan penuh dua anak, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, kepada pelakon, Diana Danielle, 32.
Keputusan prosiding hadanah itu diputuskan di hadapan Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa, di sini semalam.
Peguam syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, semua tuntutan termasuk hadanah telah diselesaikan secara baik dan dijadikan terma-terma mahkamah antara kedua-dua pihak.
“Hak penjagaan anak dan lawatan semua diselesaikan secara baik termasuk tuntutan lain. Jadi tiada apa-apa lagi tuntutan di mahkamah selepas ini.
“Hak penjagaan penuh dapat kepada ibu (Diana). Terma-terma lain adalah sulit dan sudah diselesaikan secara global dan baik,” katanya selepas tuntutan hadanah di sini, semalam.
Sementara itu, Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson enggan mengulas lanjut mengenai hak penjagaan anak yang menjadi miliknya hari ini.
10 Ogos lalu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Subang Bestari, dekat sini.
Farid melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof menerusi aplikasi Google Meet memandangkan dia mengalami masalah kesihatan kesan akibat jangkitan Covid-19.
Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mahkamah sama.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu ialah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8. – UTUSAN










