Dera, rogol paling banyak dilapor ke Pusat Sehenti Krisis

Dera, rogol paling banyak dilapor ke Pusat Sehenti Krisis

Pusat Krisis Sehenti (OSCC) yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan membolehkan kes penderaan dilaporkan segera kepada pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes penderaan sama ada melibatkan fizikal dan seksual direkodkan paling tinggi dilaporkan di Pusat Krisis Sehenti (OSCC) yang dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengikut rekod KKM yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia, ia meliputi 29,331 kes melibatkan kanak-kanak dan dewasa sepanjang tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022 lalu.

OSCC adalah satu perkhidmatan bersepadu yang mengintegrasikan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam mengendalikan kes-kes jenayah seksual seperti rogol dan serangan seksual; penderaan dan pengabaian kanak-kanak; liwat dan keganasan rumah tangga dengan kes terkumpul diterima berjumlah 119,505 kes sepanjang tempoh tersebut.

Daripada jumlah itu, kes rogol mencatatkan 12,804 kes, diikuti jenayah liwat merekodkan 1,734 kes manakala lain-lain kes sebanyak 75,636 iaitu meliputi kes-kes berkaitan gangguan seksual dan psikologi termasuk keganasan rumah tangga.

Menurut KKM, bilik OSCC yang beroperasi 24 jam sehari ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma setiap hospital kerajaan di seluruh negara bagi memberikan privasi dan menjaga hak kerahsiaan pemandiri (survivor).

“Sebagai satu Pusat Krisis Setempat, segala pengendalian kes dan rawatan diberikan di bilik OSCC dan akan dirujuk ke jabatan berkenaan bagi rawatan lanjut.

“Mangsa tidak perlu keluar ke beberapa lokasi bagi mendapatkan rawatan atau membuat laporan polis,” katanya di sini baru-baru ini.

KKM memaklumkan, OSCC yang diwujudkan sejak tahun 1996 mengendalikan rawatan multidisiplin kepada survivor dengan mengenal pasti kes-kes keganasan rumah tangga, serangan seksual serta penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Serentak itu, pihaknya memberikan rawatan dan intervensi krisis pelbagai peringkat dan pengendalian bahan bukti untuk mangsa kes-kes tersebut melibatkan perundangan dengan kerjasama pihak polis.

“Jika mangsa adalah kanak-kanak tidak mengira kes aduan, kes diwajibkan untuk dirujuk kepada pasukan SCAN iaitu Suspected Child Abuse and Neglected Team terdiri daripada pelbagai pihak.

“Ia seperti Jabatan Pediatrik, polis, Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Psikologi Kaunseling dan jabatan berkaitan kes tersebut seperti Obstetrik dan Ginekologi, Pembedahan, Ortopedik atau pun Psikiatri,” katanya.

Dalam pada itu, KKM berkata, mangsa kepada kes berkenaan tidak perlu rasa takut dan malu untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana semua petugas kesihatan dan pelbagai agensi terlibat akan menjaga privasi dan kerahsiaan pesakit.

Jelasnya, segala pengendalian rawatan akan diadakan di bilik OSCC di bawah satu bumbung untuk kemudahan dan memastikan pengurusan bahan bukti bagi urusan perundangan tercapai.

Pengadu boleh terus hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital kerajaan atau dirujuk oleh Klinik Kesihatan atau dibawa oleh pihak polis termasuk Pegawai Pelindung Kanak-Kanak atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) walaupun tanpa rujukan awal.

“Bagi kes penderaan kanak-kanak, ia boleh dilakukan dari peringkat sekolah atau asrama oleh warden atau guru sekolah sendiri terutamanya jika pendera adalah dalam kalangan ahli keluarga.

“Ini kerana, mangsa mungkin menghadapi kekangan untuk datang terus ke OSCC (terutamanya jika melibatkan pengangkutan, keselamatan atau kerahsiaan daripada ahli keluarga masing-masing terutamanya jika di bawah umur,” katanya.

Menurut KKM, Jika terdapat unsur yang mengancam keselamatan, perkhidmatan OSCC akan merujuk kepada pihak berkenaan seperti pihak polis, pegawai pelindung dari JKM dan NGO yang dapat memberikan bantuan dan perlindungan.

Sementara itu, KKM turut memaklumkan, buku polisi dan garis panduan OSCC yang diterbitkan pada tahun 2015 sebagai panduan operasi standard OSCC, sedang dalam peringkat semakan semula pada tahun ini untuk mengeluarkan garis panduan yang dikemas kini seiring dengan peredaran masa.

Katanya OSCC akan meluaskan jaringan maklumat perkhidmatan dengan semua NGO yang berdaftar dengan kerajaan untuk meningkatkan capaian maklumat kepada orang awam.

OSCC dan hospital yang dinaungi akan mewujudkan rangkaian bantuan telefon dengan semua talian bantuan sedia ada seperti Talian Kasih 15999, talian perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental (NCEMH) KKM, Befriender dan lain-lain bagi memudahkan mereka yang memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN