PETALING JAYA: Dasar Gaji Progresif yang merupakan satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten di samping pengagihan lebih seimbang, adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, model dasar itu diusulkan setelah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan serta pekerja.
Kata beliau, dasar itu yang adalah pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat.
“Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan dan MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan terutama para pemain industri, perniagaan dan pekerja.
Katanya, perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.
“MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif adalah salah satu reformasi pasaran pekerja bagi memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN