PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) mengumumkan pelantikan Datuk Abu Huraira Abu Yazid sebagai Pengerusi Bukan Independen dan Bukan Eksekutif syarikat itu yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau dilihat sebagai langkah strategik kumpulan dalam memperkukuh tadbir urus dan hala tuju korporat bagi fasa transformasi seterusnya.
Lembaga Pengarah FGV berkata, Abu Huraira memiliki pengalaman luas selama 50 tahun merentas pelbagai industri termasuk perkhidmatan kewangan, logistik, keselamatan sosial, minyak dan gas serta pembangunan tenaga kerja.
Beliau juga mempunyai kepakaran mendalam dalam operasi perbankan, pengurusan risiko serta tadbir urus kewangan menerusi pelbagai jawatan kanan yang pernah disandangnya di institusi kewangan utama negara.
“Kumpulan berasa bangga mengalu-alukan kehadiran Abu Huraira ke dalam Kumpulan FGV. Pengalaman luas dan rekod prestasi beliau dalam kepimpinan korporat serta libat urus pemegang taruh akan menjadi instrumen penting dalam memandu FGV.
“Dengan sokongan berterusan daripada Kerajaan Malaysia, kami kekal komited untuk memberikan nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi kerjaya cemerlangnya, Abu Huraira kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Pengerusi MISC Berhad, Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Pengerusi AET Pte. Ltd. dan Pengerusi Akademi Maritim Malaysia Sdn. Bhd.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) dari Universiti Malaya itu juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pengerusi Pusat Rehabilitasi PERKESO Sdn. Bhd. dan Pengarah Eksekutif Pos Malaysia Berhad.
Pelantikan ini dijangka dapat mempercepatkan fasa pertumbuhan FGV dalam mendepani cabaran industri agromakanan global dengan menekankan kecemerlangan organisasi dan hala tuju strategik yang lebih mantap.-UTUSAN










