PETALING JAYA: Pas mendakwa DAP cuba mengheret parti tersebut untuk keluar daripada prinsipnya iaitu Islam sebagai al-Din kerana mahu mengikuti agama yang difahami mengikuti takrif sekularisme.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, prinsip tersebut mewajibkan Islam mempunyai kedudukan yang berdaulat dalam negara dipimpin oleh Islam, bukan konsep sekularisme yang berpisah dari agama.
Kata beliau, DAP menginginkan Pas agar tunduk kepada prinsip sekularisme yang menjadi pelembagaannya dan konsep ‘Malaysian Malaysia’ menjadi hala tuju tersebut, maka, disitu wujud pertembungan prinsip.
“Pertembungan ini yang menyebabkan DAP keluar atau memaksa Pas untuk keluar daripada persefahaman politik (tahaluf siyasi) yang diharuskan kepada persefahaman tahaluf diharamkan kerana melanggar prinsip perjuangannya.
“DAP menerima konsep negara berkebajikan yang ditawarkan oleh Pas mengikut kefahamannya yang sempit, membolehkan tahaluf (persefahaman) dilakukan. Namun, apabila Majlis Syura Ulama mengeluarkan Dokumen Negara Islam yang lengkap untuk dijadikan panduan, tiba-tiba DAP mendedahkan sikapnya menentang Islam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Abdul Hadi berkata, DAP menunjukkan sikapnya terhadap konsep negara berkebajikan mengikut skop sekularisme yang mereka anuti dan pasa masa sama secara terbuka menentang Islam.
“Mereka membela golongan yang murtad, menentang pengharaman arak dan judi serta pelaksanaan beberapa agenda Islam yang lain walaupun semua perkara itu dihadkan kepada penganut Islam sahaja di peringkat negeri yang diperintah oleh Pas
“Keadaan ini mempengaruhi kalangan bukan Islam yang menyokong Pas dan ditubuhkan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) daripada golongan bukan Islam untuk berdepan dengan situasi tersebut,” katanya.-UTUSAN