DAP sebagai salah sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) boleh dinobatkan sebagai parti paling popular sepanjang lima hari tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Mana tidaknya, meskipun parti itu tidak bertanding dalam PRK berkenaan, kisah dan pendedahan berhubung DAP konsisten dimainkan Perikatan Nasional (PN) dalam setiap kempen ceramah mereka.
Begitu juga dengan PH dan Barisan Nasional (BN), nama DAP juga kerap disebut-sebut bagi mematahkan hujah lawan walaupun calon Parti Amanah Negara (Amanah), Ir. Nazri Abdul Rahman yang dipertaruhkan di situ.
Sepanjang kempen bermula selepas penamaan calon Sabtu lalu, belum ada kelibat kepemimpinan tertinggi DAP seperti Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook hadir ke Simpang Jeram bagi membantu Nazri.
Ia berkemungkinan salah satu strategi gabungan PH-BN untuk meminimumkan serangan PN dan Pas menggunakan ‘peluru DAP’ terhadap Amanah, yang sering dilabel sebagai ‘proksi’ parti berkenaan.
Ini menunjukkan pertembungan Pas dengan Amanah yang juga parti serpihannya tidak akan sunyi dengan laungan ‘DAP’, walaupun apa yang pernah berlaku hanyalah sejarah silam buat ketiga-tiga pihak semasa bersama dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR).
Amanah kekal dibayangi wajah DAP dalam pemikiran dan persepsi kepemimpinan Pas, meskipun pola politik Malaysia sudah berputar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam perspektif yang lain, Amanah dilihat berdepan kegetiran dalam menangkis perkara itu sehingga memaksa Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu sendiri turun memperjelas situasi sebenar.
Walaupun pembongkaran itu turut membabitkan UMNO yang kini sebahagian Kerajaan Perpaduan, Amanah wajib menjernihkan keadaan bagi mempertahan kerusi disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selama dua penggal.
Mohamad ketika berucap pada Ceramah Kelompok DUN Simpang Jeram di Taman Sri Kasih, malam Isnin lalu menyatakan, sebab sebenar Pas memutuskan kerjasama dalam PR sebelum PRU14 adalah kerana bercita-cita untuk membentuk kerjasama dengan UMNO yang ketika itu merupakan Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN