Dadah RM30 juta dirampas dalam banglo

Dadah RM30 juta dirampas dalam banglo

MOHD. Kamarudin Md. Din (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah banglo dua di Chemor, Ipoh pada Selasa lalu dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Taktik sindiket pengedaran dadah menjadikan sebuah rumah banglo dua tingkat di kawasan Klebang, Chemor di sini sebagai kilang memproses dadah terbongkar selepas diserbu polis, Selasa lalu.

Pembongkaran itu membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan berusia 44 tahun oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, dalam serbuan pada pukul 9.30 pagi itu, pihaknya merampas 413.92 kilogram (kg) pil Erimin 5 dan 25.33kg serbuk Erimin 5 dianggarkan bernilai RM30.6 juta.

Katanya, turut dirampas pelbagai mesin dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus dadah selain dua laras senjata api tiruan.

“Siasatan awal mendapati, suspek telah menyewa banglo tersebut sejak setahun lalu dengan bayaran bulanan RM2,800. Sindiket itu dipercayai mulai aktif sejak awal bulan Mac lalu.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu mendapatkan pengetahuan berkaitan memproses dadah melalui media sosial dan rakan-rakan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dan Ketua JSJN Perak, Lee King Chuan.

Menurut Mohd. Kamarudin, sindiket tersebut dipercayai mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan luar negeri Perak di mana jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 2.2 juta penagih.

Katanya, berdasarkan semakan, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah selain kedua-dua mereka positif dadah jenis amphetamine.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kereta jenis Toyota Altis dan sebuah motosikal jenis Honda EX5, dua bentuk cincin dan wang tunai berjumlah RM1,624 dengan jumlah nilai keseluruhan RM34,186.90.

“Kedua-dua suspek direman enam hari bermula kelmarin sehingga Isnin depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya.

Tambah beliau, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengesan ahli-ahli lain sindiket berkenaan untuk dibawa ke muka pengadilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN