Contohi semangat Tun Dr. Ismail – PM

Contohi semangat Tun Dr. Ismail – PM

ANWAR Ibrahim melawat sudut pameran ketika menghadiri Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. Turut serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menyeru masyarakat mencontohi semangat negarawan, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam menyelamatkan negara dan mengambil sikap keperibadiannya sebagai contoh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada mana-mana pihak boleh menyangkal bahawa Tun Dr. Ismail sebagai seorang pejuang bangsa, nasionalis tulen dan juga merupakan seorang pejuang kebangsaan.

Kata beliau, bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut sering menekankan bahawa negara perlu diselamatkan dengan satu sikap yang terbuka untuk menerima semua warganegara dalam satu semangat kekeluargaan tulen.

“Mengenang jasa tokoh silam bukan berbicarakan ‘debu-debunya’, bukan untuk nostalgia tapi menghidupkan idealisme, mesej dan suara keramat mereka bagaimana mahu meletakkan asas sertta menyelamatkan negara dan bangsa.

“Bagi saya di antara hal yang sangat relevan dalam bicarakan kita di bulan kebangsaan sebelum menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ialah menghidupkan suara keramat, idealisme dan prinsip yang tegas dibawa oleh pemimpin-pemimpin ulung kita.

“Termasuk semangat perpaduan hidup, cara damai sebagai satu keluarga besar negara,” katanya semasa berucap di Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr. Ismail di Dataran Merdeka, di sini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, keperibadian Tun Dr. Ismail perlu dihidupkan di dalam budaya politik negara iaitu tegas, menolak sebarang bentuk rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa.

“Negara ini mampu selamat sekiranya pimpinan mempunyai integriti, tolak rasuah, tolak kezaliman dan tegas melaksanakan undang-undang (untuk) menyelamatkan negara serta bangsa,” katanya.

Tambahnya, semangat tokoh tersebut perlu disemai dalam diri anak-anak muda demi menyelamatkan negara dan bangsa daripada perkara-perkara yang salah.

“Aspek lain yang harus kita pelajar ialah soal integriti dalam politik, bagaimana mampu kita lahirkan di generasi sekarang ini orang yang tumpuannya itu semata-mata untuk menyelamatkan negara serta bangsa.

“Bagaimana kita lahirkan generasi termasuk anak-anak muda yang terpahat dengan prinsip sama iaitu sama-sama membangun, menolak kebejatan sosial, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Mari kita berdoa pada Allah, mudah-mudahan semangat itu tepancar dan dihadam oleh anak-anak muda terutamanya. Bahawa kita punyai tugas dan tanggungjawab menyelamatkan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN