KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan diputuskan dalam Majlis Presiden pakatan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun kerusi itu ketika ini disandang Parti Amanah, ia tetap perlu melalui proses seperti kerusi lain.
“Selalunya kita menghormati keputusan lama iaitu kerusi Amanah.
“Tetapi ia akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH dan diangkat kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 di Pusat Persidangan dan Acara Connexion, di sini hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.
Ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu. – UTUSAN










