Calon BN mahu rancakkan aktiviti ekonomi Rantau Abang

Calon BN mahu rancakkan aktiviti ekonomi Rantau Abang

MOHD Asri meneruskan rutinnya bertemu penduduk DUN Rantau Abang untuk mengetahui sebarang permasalahan yang mereka hadapi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

—MUKADIMAH—
RANTAU Abang adalah lokasi tumpuan pelancong melihat pendaratan penyu belimbing satu ketika dahulu sekali gus merancakkan lagi sektor ekonomi di Dungun.

Namun, sejak akhir-akhir ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dilihat semakin lesu dan agak tertinggal setelah dua penggal pentadbiran negeri berubah tangan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia KAMALIZA KAMARUDDIN, calon Barisan Nasional (BN), MOHD. ASRI MOHAMAD berkongsi harapan dan perancangan yang ingin dilaksanakan sekiranya BN berjaya merampas semula Rantau Abang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————-

Apa impian yang ingin dilaksanakan di Rantau Abang?
Antara fokus utama kita ialah memperkasakan semula sektor pelancongan di kawasan ini dengan kerjasama syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan serta agensi kerajaan yang lain.
Penyu sebagai ikon negeri Terengganu sangat sinonim di Rantau Abang dan kita boleh memanfaatkannya untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung di sini.
Ada beberapa penambahbaikan juga akan dilakukan di lokasi pelancongan seperti jajaran pantai dan Batu Penyu yang menjadi tumpuan peminat sejarah berasaskan pengalaman.

Bagaimana dengan nasib anak muda pula?
Sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Dungun, saya akan pastikan BN Terengganu reali­sasikan hasrat Rantau Abang menjadi pusat pembangunan sukan Terengganu khususnya untuk mencungkil bakat-bakat baharu.
Antara kejayaan BN sebelum ini ialah membina velodrom basikal sebagai tanda komitmen kita untuk menjadikan sukan sebagai satu kerjaya stabil untuk anak-anak muda di Terengganu
Perlu juga kompleks sukan baharu di Rantau Abang agar lebih banyak program pemba­ngunan bakat dapat dilaksanakan. Kita sangat serius dalam perkara ini.

Selain sukan dan pelanco­ngan, apa lagi janji BN di DUN Rantau Abang?
Kita bercadang mahu meneruskan semula projek pembangunan Bandar Baru Kumpal agar menjadi nadi ekonomi di DUN Rantau Abang.
Ia penting untuk melonjakkan lagi taraf sosio ekonomi penduduk setempat dan memberi peluang pekerjaan kepada anak muda.
Sebelum ini, BN telah berjaya membina Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) dengan susur keluar di Kuala Dungun, malah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga mempunyai stesen di Dungun.
Ini semua adalah peluang yang perlu dimanfaatkan oleh sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan penting untuk menarik kedatangan pelabur ke Rantau Abang.
Di kawasan pedalaman Serdang ke Kampung Pinang pula akan dibuat satu projek perumahan mampu milik. Masjid baharu pula akan dibina di Kampung Delong, Tok Kah dan Rhu Batil kerana tapak telah disediakan pada zaman BN dahulu.

 

Bagaimana nasib nelayan, petani dan golongan berpendapatan rendah?
Kebajikan nelayan juga tidak dilupakan dengan menjadikan Kampung Seberang Pintasan sebagai hab nelayan moden dan industri hiliran berasaskan sumber marin.
Ia akan memberi peluang kepada suri rumah, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah untuk bekerja dalam sektor pengeluaran makanan.
Bantuan lain untuk golongan petani, nelayan, penternak dan usahawan semuanya telah diperincikan dalam Manifesto BN Terengganu yang dilancarkan baru-baru ini.

Harapan kepada pengundi?
BN telah banyak berbakti di Terengganu dan saya akan meneruskan perancangan wakil rakyat terdahulu iaitu Datuk Rosli Mat Hassan yang berjaya membawa banyak pembangunan seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
Antaranya Hospital Dungun yang baharu, Universiti Teknologi Mara, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Sains Dungun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Abang.
Insya-Allah banyak lagi yang akan kita boleh laksanakan, yang penting kerajaan negeri adalah sealiran dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.b –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya