PETALING JAYA: Pengarah filem, Aziz M. Osman, 60, memilih untuk tidak menunding jari apa lagi menceritakan di media sosial berkenaan punca penceraiannya bersama bekas isteri, Puteri Lily Lokman, 32.
Bagi pengarah filem Senario Lagi itu, perpisahan secara baik adalah jalan penyelesaian yang wajar demi memastikan anak-anak tidak terbeban dengan penceraian ini.
“Bukan saya bersembunyi tapi tak perlulah orang tahu proses penceraian atau apa yang berlaku antara saya dan bekas isteri.
“Cukuplah saya dan anak-anak masih mempunyai ikatan kekeluargaan yang kuat.
“Jika kita beri aura tak baik, maka itulah apa yang anak-anak rasakan. Saya dan Lily sama sekali tidak mahu membebankan anak-anak dengan perkara ini,” katanya.
Aziz ditemui pada sidang akhbar memorandom perjanjian antara Metrowealth International Group (MIG) dan Meatech Creative Academy.
Walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, Aziz menegaskan hubungannya dengan Lily masih akrab dan boleh bekerja secara profesional.
“Lily masih uruskan saya sampai sekarang.
“Kami akan menyelenggarakan cerita baru bertajuk Pendekar Mata Tiga Lawan Enam Celaka.
“Dia adalah penerbit dan saya akan mengarah dan tulis skrip. Hubungan masih sangat baik,” tambahnya.
Bercerita lanjut mengenai tindakannya menyekat bekas isteri di Instagram, Aziz menjelaskan ia dilakukannya bagi menjaga kesejahteraan mental.
“Saya akan block sesiapa sahaja yang merepek walaupun individu itu ialah anak saya.
“Bila Lily suruh unblock, saya buka balik.
“Sekarang semua orang bercakap tanpa ilmu kerana masing-masing dibenarkan bersuara dalam medium mereka. Jadi, saya cuma nak elakkan benda tak baik,” tambahnya yang berjaya menyelesaikan sebuah skrip komedi selepas bercerai.
Sebelum ini, Aziz M. Osman sah bercerai dengan Puteri Lily Lokman pada Julai. Berita itu dikongsikan sendiri bekas isterinya menerusi sebuah hantran di Instagram Story baru-baru ini.
Aziz dan Lily mendirikan rumah tangga sejak 6 Jun 2010 dan dikurniakan dua anak.
Perkahwinan pengarah filem Leftenan Adnan itu merupakan kali ketiga buat Aziz yang sebelum itu pernah bergelar suami kepada pelakon, Nor Aliah Lee dan memiliki enam anak.
Selepas berpisah dengan Nor Aliah Lee, Aziz berkahwin dengan Nor Radhiah pada 4 April 2008 namun tidak bertahan lama.