Budak empat tahun didera ibu, teman lelaki - Utusan Malaysia

Budak empat tahun didera ibu, teman lelaki

KEADAAN kecederaan yang dialami kanak-kanak dipercayai didera ibu dan teman lelaki ibunya di Menglembu, Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan seorang kanak-kanak lelaki meminta makanan daripada orang awam yang lalu di hadapan rumahnya di sebuah pangsapuri di Menglembu di sini, membongkar rahsia dia menjadi mangsa dera ibu dan teman lelaki.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa berusia empat tahun itu ditemui semalam, sekitar pukul 4.30 petang, dalam keadaan kelaparan dengan kesan kecederaan di seluruh badan.

Sehubungan itu, satu tangkapan dilakukan terhadap ibu mangsa berusia 23 tahun dan teman lelakinya berusia 26 tahun pada pukul 7 petang.

“Ketika ditemui, mangsa ditinggalkan bersendirian di dalam rumah dengan pintu jeriji besi berkunci. Ibu dan teman lelaki wanita itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.

“Mangsa yang kelaparan telah meminta makanan daripada orang awam yang lalu di hadapan rumah. Penjaga mangsa hanya meninggalkan kanak-kanak itu dengan roti dan Milo,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tangkapan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada rampasan barang kes iaitu paip getah dan rotan yang digunakan untuk memukul mangsa.

Katanya, kanak-kanak malang itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan dan pemerhatian lanjut.

“Teman lelaki ibu mangsa didapati positif dadah jenis methamphetamine. Kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Siasatan kes ini sedang dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar di media sosial yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki dengan banyak kesan kecederaan di badan dipercayai didera.

Turut tular rakaman suara seorang wanita yang meminta orang ramai agar peka dengan keadaan persekitaran sekiranya mendengar atau mengetahui kanak-kanak menangis dalam tempoh yang lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya