PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) melakukan perjanjian damai susulan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu lalu.
Bersih berkata, kini adalah masa untuk semua parti politik kembali ke meja perundingan bagi membentuk perjanjian damai yang bukan sahaja kedua-dua pihak, tetapi paling utama adalah rakyat.
Menurutnya, ‘politiking’ yang berlarutan dan rancak setiap kali berlaku pilihan raya menyebabkan tumpuan kerajaan-kerajaan sebelum ini dialihkan daripada melaksana tugas mereka dan membuat rakyat kecewa.
“Pada pandangan kami, ia mengecewakan sebahagian besar rakyat Malaysia yang hanya mahu meneruskan cabaran hidup seharian.
“Isu 3R (raja, agama dan bangsa) yang sering diputarkan menegangkan hubungan antara kaum yang hidup beriringan antara satu sama lain, mengancam keharmonian dan kedamaian kita nikmati sebagai sebuah negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Keputusan PRN baru-baru ini menyaksikan status quo di enam negeri iaitu Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala PN pula mengekalkan kuasa mereka di Kedah, Terengganu serta Kelantan.
Mengulas lanjut, Bersih berkata, perjanjian damai semua parti bersama pembangkang itu perlu meluas, terperinci dan meliputi 10 reformasi institusi serta penyusunan politik termasuk Akta Penggal Tetap Parlimen, pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan pengiktirafan Kabinet bayangan pembangkang.
Sementara itu, Bersih turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan janji beliau melawan korupsi sistemik dan melaksanakan reformasi institusi yang akan meletakkan asas kepada tatakelola lebih baik untuk akauntabiliti serta kestabilan.
“Dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, beliau boleh melaksanakan reformasi perundangan yang sangat diperlukan ini tanpa mendapat sokongan daripada pembangkang tetapi dengan semangat Kerajaan Madani.
“Kami menggesa beliau untuk menghulur tangan dengan ikhlas kepada pemimpin PN bagi menghormati peranan penting mereka sebagai pembangkang dan wakil kepada rakyat yang memilih mereka,” katanya.-UTUSAN