Barisan Exco Pulau Pinang direstui pimpinan PH-BN Pusat - Utusan Malaysia

Barisan Exco Pulau Pinang direstui pimpinan PH-BN Pusat

CHOW Kon Yeow (tengah); Mohamad Abdul Halim (kanan) dan Jagdeep Singh Deo (kiri) dalam sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah jawatan di Dewan Sri Pinang, George Town, Pulau Pinang, semalam. - Pic IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kombinasi barisan Exco Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang terdiri daripada lapan wakil DAP, dua PKR dan seorang Barisan Nasional (BN) mendapat restu daripada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) -Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau dapat memuktamadkan senarai barisan Exco Kerajaan Perpaduan itu selepas mendapat persetujuan daripada pimpinan pusat parti komponen masing-masing.

Jelas beliau, setiap parti dalam gabungan PH-BN mempunyai cabaran masing-masing dalam menentukan wakil yang sesuai di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

”Ada (parti) yang mahu tambah kerusi, ada yang mahu lepas kerusi. Kita buat pertimbangan dengan mengambil kira kedudukan gabungan PH-BN di negeri-negeri lain.

”Apabila ada yang kita lepas (kerusi), nanti mereka (parti) akan dapat kedudukan di negeri lain pula,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 10 Exco Kerajaan negeri Pulau Pinang selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di sini hari ini.

Tambah Kon Yeow, bagi wakil BN parti itu hanya menang di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pucuk pimpinan BN juga hanya mengemukakan satu nama untuk menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.

”Bagi PKR pula, daripada tiga jawatan Exco sebelum ini, mereka peroleh dua jawatan Exco kali ini dan ia dibuat berdasarkan kemenangan kerusi DUN PKR.

”DAP pula memberi keutaaman kepada wakil yang telah memegang jawatan selama dua atau tiga penggal, manakala Parti Amanah Negara (Amanah), kita peruntukkan jawatan Timbalan Speaker,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau berharap barisan Exco yang telah dilantik dapat menyesuaikan diri dengan portfolio masing-masing dan bekerja sebagai satu pasukan untuk kepentingan rakyat negeri ini pada masa jangka panjang.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I berkata, beliau bersedia berkhidmat serta memberi komitmen penuh bagi memastikan kesejahteraan dan perpaduan rakyat negeri ini.

Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, walaupun masih baharu dalam dunia politik, beliau sebenarnya mempunyai pengalaman yang selari dengan portfolio yang dipegang.

”Saya bersedia memberi komitmen penuh, malah portfolio yang digalas ini bukan asing kerana saya sebelum ini Ketua Eksekutif Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang dan ia (portfolio) adalah bidang saya,” katanya.

Menurutnya, beliau sedia berkhidmat kepada rakyat di Pulau Pinang terutama dalam membangunkan agama Islam, pendidikan dan pengajian tinggi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, jawatan yang digalas itu merupakan satu cabaran baharu kepadanya selepas 15 tahun bersama kepimpinan negeri.

”Portfolio baharu ini merupakan cabaran baharu untuk terus bekerja dalam satu pasukan yang diketuai Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Saya akan meneruskan kerja untuk semua rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum atau agama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya