Bapa rayu bantuan rawatan susulan anak hidap barah hati - Utusan Malaysia

Bapa rayu bantuan rawatan susulan anak hidap barah hati

AZLAN Mohamed Yusof bersama anaknya, Iman Haiqal yang menghidap penyakit barah hati ketika ditemui di Taman Desa Aman, Batu 6, Jalan Maharaja di Teluk Intan. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang bapa merayu sumbangan orang ramai untuk kos rawatan susulan anaknya yang berusia sembilan tahun.

Ini selepas anaknya itu menjalani pembedahan akibat barah hati tahap empat.

Azlan Mohamed Yusof, 38, berkata, anak lelakinya, Iman Haiqal Azlan disahkan menghidap penyakit barah hati pada Januari lalu apabila tiba-tiba rebah di luar rumah.

Katanya, selepas membawa anaknya itu mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan, dia terkejut apabila doktor memberitahu anak bongsunya itu menghidap penyakit barah hati.

“Selama ini anak saya tidak ada masalah kesihatan, dia nampak sihat dan ceria dan tidak pernah mengadu sebarang masalah kesihatan.

“Anak saya sudah menjalani pembedahan pada 7 Julai lalu di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur. Dia masih dalam pemantauan doktor dan kami memerlukan bantuan dari segi kewangan menampung keperluan hariannya dan rawatan susulan.

“Anak saya dirujuk ke Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) Ipoh dua kali sebulan bagi menjalani rawatan susulan dengan doktor pakar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Aman, Batu 6, Jalan Maharaja di sini.

Menurutnya, keadaan anak­nya masih lemah selepas menjalani pembedahan.

Katanya, anaknya menggunakan kerusi roda dan untuk membuang air dan mandi, anaknya itu terpaksa diangkat.

Menurutnya, dengan pendapatan sebagai pemandu lori ais, dia memerlukan bantuan untuk kos rawatan susulan anaknya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Azlan Moha­med Yusof di nombor akaun 082341000143200. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN