SUNGAI PETANI: Bapa kepada bekas pemain bola sepak Kedah dan Sabah yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar meninggal dunia pada pukul 6.04 pagi ini.
Allahyarham Bakhtiar Md. Isa, 66, yang menghembuskan nafas terakhir di kediaman Baddrol di Cinta Sayang Resort Villa, di sini difahamkan baru selesai menjalani pembedahan berkaitan penyakit angin pasang, baru-baru ini.
Bapa mertua Baddrol, Mustafa Khalid Hanafi, 62, ketika dihubungi berkata, jenazah besannya akan diuruskan dan disembahyangkan di Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Busyra, Merbok selepas solat zohor hari ini.
Terdahulu, berita pemergian arwah dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Baddrol yang juga anak keempat daripada enam beradik.
Baddrol yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sepanjang penglibatannya dalam bola sepak tanah air baru memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu. –UTUSAN