KEMAMAN: Penduduk di sekitar Felda Cherul dan Kampung Ban Ho, dekat sini, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pembuangan sampah secara haram dan tidak terkawal berhampiran kawasan kampung berkenaan.
Tinjauan di kawasan tersebut mendapati, hampir dua kilometer laluan penduduk ke kawasan ladang hingga ke pinggir hutan menjadi tempat pembuangan sampah.
Penduduk mendakwa, kawasan tersebut dijadikan tempat pembuangan sampah lebih lima tahun lalu dan dikhuatiri menjejaskan pencemaran alam sekitar sekiranya tiada tindakan diambil.
Seorang penduduk, Mohd. Nazri Salleh, 36, berkata, aktiviti pembuangan sampah tersebut bukan hanya dikhuatiri menjejaskan kesihatan, malah mengundang kehadiran haiwan liar.
“Laluan ini digunakan penduduk ke kebun dan ladang mereka. Semakin hari, semakin banyak sampah yang dibuang. Bukan hanya di laluan masuk ke ladang malah di lereng bukit.
“Bila banyak sampah dibuang, bukan hanya kera tetapi babi, biawak dan haiwan liar lain turut menjadikan kawasan sampah ini sebagai tempat mencari makan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang peniaga, Nur Ainun Mat Yasim, 34, berkata, lokasi kawasan pembuangan sampah yang hanya 500 meter dari kedainya dan kawasan rumah penduduk, mendatangkan bau busuk dan gangguan lalat.
“Memang rasa tak selesa dalam keadaan macam ni terutama bila angin kuat dan selepas hujan, memang bau sampah sangat busuk. Nak makan pun rasa loya.
“Kadangkala ada gangguan lalat. Saya perlu sangat berhati-hati ketika menyediakan makanan sebab bimbang lalat hinggap pada makanan yang nak dijual,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Latif Raub, 63, pula berharap pihak berkuasa dapat menyediakan tong sampah yang besar untuk memudahkan membuang sampah.
“Kalau tak diatasi masalah ini, dibimbangi semakin banyak sampah yang dibuang dan alam sekitar turut terjejas. Sampah dibuang hingga ke kawasan hutan dan kadangkala ada individu tertentu yang bakar sampah tersebut, ia pasti menimbulkan pencemaran udara,” katanya. – UTUSAN









