Anwar perlu pertimbang Tok Mat ganti Ahmad Zahid - Penganalisis

Anwar perlu pertimbang Tok Mat ganti Ahmad Zahid – Penganalisis

ANWAR Ibrahim perlu mempertimbangkan Mohamad Hasan menggantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai TPM dan menerajui UMNO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempertimbangkan agar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mesra digelar Tok Mat menggantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerajui UMNO bagi memastikan kestabilan kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat, peralihan tugas itu perlu berlaku untuk turut menggantikan Tok Mat bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri dan pada masa sama memangku tugas Presiden UMNO sehingga PRU16.

Kata beliau, ia sebagaimana pernah dilakukan sebelum ini pada tahun 2018 apabila Tok Mat mengetuai Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Tanjung Piai, pencapaian UMNO-Barisan Nasional (BN) sangat cemerlang sehingga kedua-dua kawasan tersebut dimenangi BN.

“Namun, saya melihat Ahmad Zahid tidak semudahnya akan berundur walaupun ada desakan daripada pelbagai pihak.

“Ia melainkan Ahmad Zahid dan Tok Mat sepakat bersama untuk berundur bagi memberi ruang pemulihan kepada UMNO sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya itu turut berpandangan, rakyat sudah nampak apa yang berlaku kepada UMNO-BN dan telah dua kali parti itu berhadapan dengan situasi sukar.

Lebih memburukkan, kedudukan parti itu mengalami kemerosotan kerusi yang amat teruk iaitu pada PRU15 dan semasa enam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Kata beliau, sekiranya Ahmad Zahid masih kekal sebagai Presiden, Pakatan Harapan (PH) juga akan menerima tempias yang dialami oleh UMNO-BN.

“Apatah lagi negara akan berhadapan dengan PRK Pulai, Simpang Jeram dan negeri Sabah selepas ini.

“Justeru ‘pendarahan politik’ yang sedang dialami oleh UMNO perlu dihentikan segera kerana bukan sahaja boleh melemahkan UMNO-BN tetapi akan mewujudkan beban kepada PH,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar melepaskan jawatan Presiden UMNO secara terhormat untuk tidak lagi menjadi liabiliti kepada BN dan PH.

Krisis dalaman UMNO susulan protes terhadap Ahmad Zahid, jelasnya, menyebabkan wujud undi sabotaj akar umbi parti itu sehingga memangkah Perikatan Nasional (PN) pada PRN lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya