PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan semua jenis sekolah akan dibaik pulih dan dilengkapi dengan infrastruktur asas menjelang Oktober ini.
Beliau berkata, perkara itu lebih bermakna buat jutaan ibu bapa dan murid berbanding mercu tanda gagah, bangunan tertinggi atau gedung-gedung raksasa yang ada di luar sana.
“Apa erti merdeka rakyat? Kesempatan, peluang dan prasarana asas itu mesti terjamin. Malaysia tidak boleh dikenali dengan mercu tanda gagah (sahaja) sama ada bangunan tertinggi, jambatan terpanjang atau gedung-gedung raksasa.
“Malaysia harus terkenal dengan jaminan keadilan buat semua rakyat termasuk yang tersisih dan terpinggir. Ini disebut sebagai kemerdekaan pemikiran, jiwa merdeka itu tidak kagum dengan hanya gedung-gedung raksasa.
“Sebab itu tahun 2023 ini, sebelum akhir tahun dan secara spesifiknya bulan Oktober, semua sekolah di negara ini (sama ada) sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil atau sekolah Arab semua tanpa dikecualikan, kita jamin punyai prasarana asas yang munasabah dari bumbung (sehingga) tandas,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu Anwar berkata, berdasarkan penilaian, Malaysia dilihat berada pada tahap mendatar dan tidak melonjak sejak 20 tahun kebelakangan ini.
Beliau menjelaskan, dahulu Malaysia mempunyai keupayaan untuk diangkat martabat dan ekonomi, namun akibat masalah-masalah yang dihadapi ia akhirnya kekal mendatar sepanjang tempoh tersebut.
“Dilihat daripada penilaian, 20 tahun kebelakangan ini memang kita di tahap yang sangat mendatar, tidak melonjak. Kita yang dahulunya mempunyai keupayaan untuk diangkat martabat dan ekonomi telah menghadapi masalah-masalah dan kekal mendatar selama tempoh itu.
“Kita boleh buat pilihan untuk terus dengan adu domba, syak wasangka, permusuhan politik dan kaum atau kita memilih untuk mengatakan sudahlah, marilah kita gunakan masa dan waktu kita ini untuk merangka strategi dan bekerja sedaya upaya untuk mengangkat martabat negara ini,” katanya. – UTUSAN