Angkat kepakaran universiti sama-sama pacu kemajuan negara - Anwar - Utusan Malaysia

Angkat kepakaran universiti sama-sama pacu kemajuan negara – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika berucap merasmikan Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-16 (PERKEM 16) di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya kepakaran yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dan universiti negara diangkat bersama-sama Kerajaan Pusat dalam memacu kemajuan negara dengan lebih pesat.

Sehubungan itu, tegas Perdana Menteri, beliau akan meminta pengurusan IPT dan universiti memberikan laporan terperinci berkenaan kepakaran, tenaga akademik dan penyelidik yang dimiliki institusi masing-masing supaya dapat dipadankan dalam pentadbiran Kerajaan Pusat.

Jelas beliau, usaha itu bagi memastikan wujud sinergi dan kerjasama langsung dengan IPT dan universiti yang dapat dimanfaatkan oleh pentadbiran Kerajaan Pusat.

Beliau turut mengambil contoh bagaimana sinergi antara kerajaan dan kepakaran di universiti itu begitu aktif dilakukan dan menguntungkan negara China sedangkan Malaysia masih lagi terikat dengan pendekatan lama.

“Kepakaran universiti ini mesti diangkat sepenuhnya kerana ini belum dilakukan dan ini menjadi kerugian kepada negara.

“Jadi, saya minta laporan terperinci supaya universiti berikan bidang-bidang tenaga akademik dan penyelidik untuk kita sesuaikan di jabatan atau kementerian mana supaya ada sinergi dan dapat dimanfaatkan (oleh Kerajaan Pusat).

“Andaiannya, jika ini dapat dilakukan dalam tempoh segera, kita boleh pacu ekonomi dan mencapai pertumbahan enam peratus dalam masa singkat selain pelaburan negara juga boleh bertambah dii luar jangkaan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-16 (PERKEM 16) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.

Persidangan tahunan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM bertemakan ‘Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geo-Politik’ itu disertai kira-kira 350 orang terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan profesional dari sektor awam dan swasta.

Ia turut melibatkan pembentangan sebanyak 76 kertas kerja oleh seramai 91 individu dalam pelbagai bidang kepakaran termasuk dari Malaysia dan Indonesia.

Dalam pada itu, Anwar menambah, beliau juga akan meminta Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi mendapatkan input daripada kepakaran yang dimiliki IPT dan serta universiti dalam merangka Bajet Madani 2.0 yang akan dibentangkan pada Oktober ini.

“Saya minta input, teguran, kritikan daripada akademik, saya okay, tidak ada masalah.

“Jangan bimbang kalau ada ahli akedmik yang memberi pandangan sedikit menyimpang, saya tidak ada masalah.

“Sebab saya mahu kita bekerjasama sebagai satu pasukan, supaya ada sinergi yang jelas antara universiti dan Kerajaan Pusat dan saya minta Kementerian Kewangan untuk Belanjawan Madani kedua, pada Oktober ini, supaya rangkum semua kekuatan yang ada pada kementerian, kerajaan dan universiti awam serta swasta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya