Terengganu bakal jadi 'Kelantan kedua'

ANALISIS: Terengganu bakal jadi ‘Kelantan kedua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEKALAHAN terburuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membuktikan rakyat Terengganu menolak kedua-dua parti itu di negeri ini.

Rakyat di negeri itu mula memberi isyarat awal mereka menolak BN dan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, namun pemimpin parti itu masih tidak insaf untuk membetulkan perjuangan parti mereka di landasan yang tepat.

Krisis dalam yang berlaku dalam kalangan pemimpin BN khususnya UMNO di peringkat negeri dan Pusat yang tidak berkesudahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu membuat rakyat merasa bosan terhadap parti tersebut.

Mereka menunjukkan kemarahan terhadap pemimpin BN dan UMNO menerusi kertas undi apabila memberi sokongan padu kepada parti gabungan Pas dan Bersatu itu.

Lebih memburukkan keadaan, kebanyakan ahli UMNO juga memberi sokongan kepada PN seperti dilakukan dalam PRU15, malah jumlah ahli berkenaan lebih besar lagi.

Beberapa isu yang diketengahkan BN dalam tempoh kempen juga tidak memberi kesan kepada PN termasuk isu kerajaan negeri jual tanah kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) dengan harga lebih murah dan isu masih ramai penduduk di negeri ini tidak menerima bantuan banjir.

Pada masa sama, pengundi Melayu di Terengganu juga didapati menolak BN selepas bekerja sama dengan PH yang turut mengabungkan parti yang ditolak di negeri ini iaitu DAP.

Kempen PN ‘satu undi PH, satu undi buat DAP’ didapati berkesan di negeri ini kerana penduduk khususnya orang Melayu tidak dapat menerima parti DAP itu.

Penolak rakyat terhadap BN dan PH itu dijangka sama seperti yang berlaku di Kelantan dan Kedah.

Keadaan tersebut akan menyebabkan BN dan UMNO sukar untuk bangkit semula di Kelantan.

Malah, BN di Terengganu dijangka menerima nasib yang sama dengan BN di Kelantan apabila gagal mengambil alih pemerintahan daripada Pas sejak lebih 30 tahun lalu.

Mungkin juga Terengganu bakal menjadi “Kelantan kedua’ selepas ini.

Selain itu, pengundi Terengganu khususnya anak-anak muda tidak dapat menerima calon-calon kitar semula dan tokoh lama yang banyak diketengahkan BN dan PH dalam PRN kali ini.

Ini dapat dibuktikan apabila dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman juga kecundang dengan majoriti besar.

Ahmad yang menyandang kerusi DUN Kijal selama sembilan penggal tewas dengan majoriti 3,758 undi selepas sekadar memperoleh 9,645 undi berbanding pencabarnya Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri yang menjadi calon PN, Datuk Razali Idris mendapat 13,403 undi.

Begitu juga nasib Ahmad Razif yang tidak disangka kalah di DUN Seberang Takir di lubuk tradisi UMNO dengan majoriti 2,797 undi kepada calon PN, Khazan Che Mat yang mengumpul 12, 156 undi.

Dalam pada itu, kemenangan bergaya PN Terengganu 32 – 0 ke atas BN dan Pakatan Harapan apabila menguasai kesemua kerusi DUN dalam PRN semalam juga merupakan sejarah baharu rakan gabungan Pas dan Bersatu itu dalam politik di negeri ini.

Lebih membanggakan PN, pencapaian luar biasa itu menepati sasaran memenangi kesemua 32 DUN yang dicanang sejak mencapai kemenangan di semua lapan kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November tahun lalu.

Kejayaan luar biasa PN itu berjaya memecah ‘badi’ Pas yang sebelum ini dilabell sebagai kerajaan sepenggal apabila dapat membentuk kerajaan negeri bersama Bersatu dalam tempoh dua penggal berturut-turut selepas PRN tersebut.

Lebih membanggakan PN, pencapaian luar biasa itu menepati sasaran memenangi kesemua 32 DUN yang dicanang pemimpin Pas sejak mencapai kemenangan di semua lapan kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November tahun lalu.

Bukan itu sahaja, lebih manis lagi PN juga berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan secara serentak dengan PRN, Sabtu lalu.

Calon PN, Datuk Ahmad Amzad Hashim berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti lebih besar 47,266 undi berbanding majoriti 40,907 undi pada pada PRU15. -UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN