Amirudin masih MB 'caretaker' - Utusan Malaysia

Amirudin masih MB ‘caretaker’

HARIS KASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kekal sebagai Menteri Besar sementara sehingga istiadat angkat sumpah diadakan.

Istiadat tersebut tidak dapat diadakan sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu berikutan berikutan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika itu masih berada di London, United Kingdom (UK). 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim memaklumkan, Menteri Besar perlu menghadap bagi mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor dan menerima Surat Cara pelantikan seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

“Baginda masih berada di London (pada Sabtu lalu) kerana menerima rawatan dan berangkat pulang ke istana pada 15 Ogos (semalam). Bagaimanapun, masih belum ada tarikh diperkenan baginda untuk menerima menghadap calon Menteri Besar bagi penggal ke-15 kerajaan negeri.

“Oleh demikian, Amirudin akan kekal sebagai Menteri Besar sementara atau caretaker sehingga Menteri Besar yang baharu mengangkat sumpah nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau menambah, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, Sultan Selangor adalah pemegang kuasa untuk melantik Menteri Besar berdasarkan Perkara LI (51) dalam undang-undang tersebut.

Pada Sabtu lalu, Pakatan Harapan bersama Barisan Nasional (PH-BN) mengekalkan penguasaan mereka di Selangor selepas memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara dimenangi termasuklah kerusi ditandingi Amirudin di Sungai Tua dengan majoriti sebanyak 5,185 undi menewaskan pencabarnya dalam saingan tiga penjuru iaitu Muhammad Hanif Jamaluddin (Perikatan Nasional) dan Suman Gopal (Bebas).

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Undang-Undang Perlembagaan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ikmal Hisham Md. Tah memberitahu, pelantikan Menteri Besar kekal menjadi prerogatif Sultan Selangor walaupun ketika baginda tiada di negeri ini.

“Istiadat tersebut boleh berada di dalam dua situasi iaitu di hadapan Sultan Selangor sendiri atau pemangku iaitu Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah) dengan perkenan baginda. Kedua-duanya tidak bertentangan dengan perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

“Justeru, hal tersebut tidak sesekali akan menyebabkan krisis kerana jelas termaktub dalam undang-undang. Tiada tempoh tertentu (bagi pelantikan Menteri Besar) tetapi haruslah segera bagi memastikan kerajaan berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Sultan Sharafuddin berangkat ke London bagi menjalani rawatan Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) dan pulang ke tanah air seperti dijadualkan, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×