KUALA LUMPUR: “Kenapa nak deny (nafikan)?”
Itu respons bekas anggota kumpulan Forteen, Muhammad Ridzuan Sharifuddin tentang kebenaran desas desus dia menggunakan steroid untuk membina badannya.
Jelas Ridzuan atau mesra disapa Wan, dia tidak perlu sembunyikan hakikat dia mengambil bahan tersebut untuk membesarkan otot.
“Tapi kalau ambil steroid, tak jaga badan, tak guna.
“Dalaman (badan) kena jaga, ambil vitamin, suplemen untuk kesihatan hati dan tulang,” katanya.
Wan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Anugerah TikTok Malaysia semalam.
Dalam masa yang sama, bekas peserta D’Academy Asia 3 itu memaklumkan turut mendapatkan nasihat dan saranan pakar sebelum mengambil bahan tersebut.
“Tentu saya dapatkan pandangan doktor tentang kebaikan dan keburukannya,” katanya lagi.
Mengulas mengenai isu ‘tayang badan’, Wan tidak menafikan ada menerima gangguan bukan-bukan gara-gara tindakannya itu.
Namun, dia mengakui sudah lali dan enggan mengambil pusing hal tersebut.
“Komen-komen nakal memang ada, sudah bertahun-tahun saya terima.
“Yang keterlaluan juga ada, hantar gambar tak senonoh melalui mesej di Instagram.
“Tapi saya jenis masuk telinga kanan keluar telinga kiri, masih boleh bersabar, tidak melatah dan tak mahu membuka aib dengan mendedahkan perbuatan mereka,” jelasnya.