BAKAL menghidupkan nuansa muzik penyanyi legenda, Stevie Wonder, bagi dua pendatang baharu dunia seni, Aisha Retno dan Syafiq Abdillah, itu bukan satu kerja mudah. Apatah lagi Wonder mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Namun peluang untuk beraksi di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tidak seharusnya disia-siakan. Biar apa sahaja latihan dan persediaan harus dilakukan, itu bukan satu penghalang.
Konsert The Music of Stevie Wonder yang dipersembahkan oleh MPO Jazz Band & Friends di DFP pada 9 September depan adalah satu pembuktian juga kepada dua penyanyi muda itu.
Tanpa mengambil masa seminit pun untuk berfikir, lamaran pihak DFP terus diterima Aisha. Dia mungkin masih hijau dalam laman seni namun bakatnya semakin mengharum dalam kalangan peminat dan pemain industri.
Tidak hairan, pengarah muzik, Marques Young memilih penyanyi lagu Sutera itu kerana yakin dengan kemampuan dan bakat yang dimiliki oleh pemenang tempat ketiga Big Stage musim keempat itu.
“Kalau cakap soal teruja itu, memang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sebagai pendatang baharu, lamaran untuk beraksi di pentas DFP itu sangat besar. Ini adalah impian setiap penyanyi.
“Sampai sekarang saya sendiri tidak percaya, diberi kepercayaan oleh Young. Tak sabar untuk beraksi bersama Syafiq dan Young. Saya pernah sepentas dengan Syafiq ketika Big Stage dahulu.
“Sementara Young, saya kenal dia sebagai antara pengarah muzik yang berkaliber. Satu tanggungjawab yang cukup besar, tetapi inilah pentas untuk saya raih pengalaman dan ilmu,” ujar Aisha.
Bercakap soal pemilihan lagu, Aisha yang juga peminat Wonder banyak terinspirasi dengan karya-karya nyanyian legenda muzik tersebut. Malah, genre muziknya juga sejalur dengan Wonder.
“Kita tahu karya-karya Wonder ini cukup besar. Saya suka dengan lagu, Dont You Worry ‘Bout A Thing, Do I Do dan Overjoyed. Saya membesar dengan lagu-lagu ini yang banyak memberi saya inspirasi muzik.
“Muzik Wonder adalah satu evolusi yang dekat dengan pendengarnya. Ini adalah peluang kami meraikan karya-karya legenda yang selama ini menemani kita semua dari kecil,” katanya.
SYAFIQ MELAWAN STAGE FRIGHT
Pernah sama berjuang dalam Big Stage sebelum ini, penyanyi kelahiran Brunei ini mempunyai ‘ketakutannya’ sendiri. Apatah lagi, Syafiq sebelum ini pernah mendedahkan dia mempunyai stage fright setiap kali persembahan.
Namun peluang untuk beraksi di DFP bukan sesuatu yang harus dilepaskan, maka dia perlu kuat semangat dan bersedia untuk berdepan dengan ketakutannya sendiri terutama di pentas besar.
“Dulu memang agak teruk. Setiap kali buat persembahan, saya jadi panik dan gemuruh terlampau. Tetapi apabila sudah acap kali beraksi di atas pentas, ketakutan itu sudah boleh dikawal.
“Namun semua sedia maklum, DFP bukan satu persembahan biasa. Persediaan dan latihan harus dilakukan. Sebab ini adalah peluang yang mungkin tidak datang dua kalinya,” katanya.
Ditanya tentang Wonder, bagi penyanyi Kekal ini, lagu-lagu penyanyi legenda itu banyak membawa dia pulang semula ke zaman kanak-kanak kerana ibunya sering memainkan karya-karya Wonder di corong radio.
“Dulu waktu ke sekolah atau setiap kali menaiki kereta, ibu akan memainkan lagu-lagu Wonder. Kami berdua peminatnya. Jadi kalau tanya tentang lagu yang akan saya pilih, Sir Duke. Itu lagu kegemaran ibu saya.
“Ada beberapa lagu lain lagi bakal saya nyanyikan bersama Young dan Aisha. Ini adalah satu kebanggaan sebagai peminat Wonder.Sangat teruja dan bersyukur,” kongsinya.
MENGHARGAI MUZIK
Bakal membariskan 12 pemuzik dalam persembahan 90 minit, pengarah muzik, Young juga tidak sabar untuk bekerja dengan dua penyanyi yang dianggapnya mempunyai bakat dan masa depan yang cukup cerah dalam dunia muzik.
Malah sebagai peminat setia Wonder, dia juga bakal membawakan karya-karya legenda itu dengan interpretasinya sendiri.
“Lagu-lagu Wonder cukup dikenali. Tetapi tugas saya adalah untuk menjelmakan muzik-muziknya supaya peminat yang hadir dapat merasakan aura dan jiwa karya-karya itu.
“Saya mahu memberikan sesuatu yang mereka mungkin tidak pernah dengar, terutama daripada segi susunan muzik. Saya mahu peminat yang hadir berseronok dan mengimbas kembali lagu yang dekat dengan mereka.
“Ini adalah satu penghargaan untuk legenda muzik tersebut. Ada 20 lagu yang bakal dipersembahkan termasuk medleys,” katanya.