Senyar: Selangor persiap 1,173 PPS, lindung sehingga 244,000 mangsa

Senyar: Selangor persiap 1,173 PPS, lindung sehingga 244,000 mangsa

Senyar Selangor
KEADAAN banjir yang melanda di Taman Saujana Aman akibat limpahan air dari Sungai Buloh di kawasan berkenaan dekat Ijok, di Kuala Selangor, Selangor, kelmarin. - Ihsan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor bersiap siaga menempatkan sehingga 244,000 mangsa banjir di 1,173 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi ribut tropika Senyar.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan niger membuat beberapa persiapan untuk menghadapi bencana yang mencabar termasuk mengaktifkan semua jentera di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini termasuk sekolah, masjid, dewan, dan balairaya, dan semua PPS ini dilengkapi dengan keperluan asas yang sewajarnya.

Tambahan kepada itu, sebanyak 344 jentera seperti kenderaan pacuan empat roda dan lori muatan berat, serta 227 unit bot telah ditempatkan di kawasan strategik seluruh negeri untuk tujuan kecemasan penghantaran barang keperluan asas serta sebarang operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, semua agensi bertanggungjawab diarahkan supaya membuat pemeriksaan keselamatan kepada setiap unit kenderaan ini supaya dapat terus dikerah untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan ribut tropika Senyar dijangka membawa impak hujan lebat berterusan kepada negara bermula tengah malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, antara negeri yang dijangka menerima impak ribut tersebut ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang.

Malah malam tadi, JPS Selangor dalam kenyataannya berkata, kawasan di sepanjang lembangan Sungai Buloh dilapor menerima kadar taburan hujan paling tinggi bermula 24 November lalu dengan bacaan yang dicatatkan sebanyak 228 milimeter (mm).

Justeru, keadaan itu dipercayai menjadi punca kepada limpahan air yang berlaku di kawasan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh serta di Kampung Seri Sentosa dan Taman Saujana Aman, Ijok.

Malah, ia turut menyebabkan laluan dari Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor itu ke Bandar Puncak Alam terputus akibat banjir.

Amirudin berkata, amaran tersebut menjadikan Selangor pertama kali berhadapan dengan ribut tropika yang mana ia dikesan di Sumatera dan sedang merentasi Selat Melaka menuju ke negara ini.

“Ribut tropika Senyar mampu mencapai kelajuan sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan akan mengakibatkan hujan lebat secara berterusan sekurang-kurangnya sehingga hari Sabtu, 29 November.

“Kita juga mempunyai 45 stesen amaran siren di seluruh negeri yang akan diaktifkan sekiranya dijangka paras air akan menaiki tahap bahaya dan saya menyeru setiap rakyat Selangor untuk berada dalam keadaan siap siaga bagi sebarang amaran serta arahan pemindahan yang diberikan oleh pegawai berkuasa ataupun ketua komuniti masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN