PETALING JAYA: Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asia 2023 (AASM 2023) pertama kali di Sarawak bakal membantu negeri itu merealisasikan atlet bertaraf dunia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, input berguna dapat diberikan AASM khususnya kepada Sarawak dalam memperkasa pembangunan sukan dengan adanya penyertaan pelbagai pihak profesional daripada industri itu.
Menurut beliau, persidangan yang akan berlangsung pada 19 dan 20 Ogos ini di Hotel Imperial Kuching, Sarawak bakal disertai pengurusan sukan tempatan dan juga melibatkan pihak berkepentingan daripada antarabangsa.
“Menerusi persidangan itu, ia dapat melatih atlet menguruskan masa dengan baik.
“Selain pengurusan sukan, adalah penting untuk atlet profesional menerapkan disiplin yang kuat terhadap perkara ini,” kata beliau dalam sidang akhbar majlis pra pelancaran AASM 2023 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan yang bertemakan Agenda Kemampanan Industri Sukan Asia Tindakan dan Pendidikan Menerusi Sukan setakat kini mendapat 230 penyertaan antarabangsa daripada 18 negara telah pun mengesahkan penyertaan mereka bagi AASM 2023.
Beliau yakin jumlah tersebut akan terus meningkat, pihak mereka mencapai sasaran sebanyak 500 penyertaaan sama ada daripada peserta tempatan atau antaranbangsa.
“AASM 2023 akan menjadi grid permulaan untuk pengurus sukan Sarawak dan program pembangunan pengurusan sukan yang akan dilaksanakan bersama entiti sosial dan persekutuan sukan negara,” katanya.
Tambahnya, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis dengan penganjuran persidangan itu.
Jelas beliau, ini kerana ia akan menjadi pemangkin untuk pengurus sukan tempatan di Sarawak membuat persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun hadapan.
“AASM 2023 akan menjadi grid permulaan untuk pengurus sukan Sarawak dan program pembangunan pengurusan sukan yang akan dilaksanakan bersama entiti sosial dan persekutuan sukan negara,” katanya.
Persidangan AASM yang disokong oleh Business Events Sarawak (BES) juga akan menyaksikan kehadiran Naib Presiden Persatuan Pengurusan Sukan Arab Antarabangsa, Prof. Dr. Ashraf EIMediani dari Mesir.
Selain penceramah antarabangsa, Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Presiden Persatuan Hoki Ais Malaysia (ISAM), Mohamad Fadzli Johan akan turut hadir.
Peserta boleh mendaftar untuk persidangan itu di laman web https://www.smas.org.my/aasm2023/register.php dan yuran bagi peserta individu tempatan ditetapkan pada RM750, dan RM600 untuk persatuan. – UTUSAN