PH tubuh jawatankuasa khas pantau pelaksanaan manifesto PN - Utusan Malaysia

PH tubuh jawatankuasa khas pantau pelaksanaan manifesto PN

MOHD. HASBIE MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memantau pelaksanaan  manifesto oleh Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbie Muda berkata, jawatankuasa itu akan dibentuk dalam masa terdekat melibatkan wakil daripada parti-parti komponen PH.

Menurutnya, selain itu wakil setiap pimpinan sayap parti negeri juga akan terlibat dalam jawatankuasa tersebut.

“PH bersedia untuk memantau dan ingin melihat pelaksanaan manifesto Pas di Terengganu.

“Walaupun Dewan Undangan Negeri DUN (Terengganu) akan bersidang tanpa kehadiran pembangkang, kami akan menjalankan fungsi semak dan imbang melalui jawatankuasa tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, PN Terengganu menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN dengan majoriti yang jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Selain itu, Pas juga berjaya mempertahankan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Mohd. Hasbie memberitahu, pihaknya juga mengharapkan janji manifesto PN dapat ditunai segera dan tidak menyalahkan pihak lain sekiranya tidak mampu menunaikannya.

Pada PRN lalu, Pas Terengganu menawarkan sebanyak 10 manifesto antaranya menyediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal tanpa riba maksimum RM4,000, menyediakan khairat kematian RM500, Tabung Geran Usahawan Belia RM5 juta serta menyiapkan jalan raya berkembar (jalan pantai) dari Kemaman hingga Besut.

Selain itu, Pas juga berjanji akan menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah melalui Perkeso, menyediakan Tabung Bantuan Pertanian, Penternak dan Nelayan sebanyak RM10 juta serta mewujudkan Pusat Tafaqquh Fiddin di setiap daerah.

Manifesto lain ialah menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan negara dengan peruntukan RM100 juta, meningkatkan peluang pekerjaan menerusi insentif pengembangan perniagaan kepada peniaga yang membuka cawangan perniagaan di Terengganu serta membina ‘Township Mosque’ sebagai masjid baharu yang lengkap dengan fasiliti ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya