506 kes gangguan seksual direkod sejak tahun lalu

506 kes gangguan seksual direkod sejak tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 506 kes gangguan seksual direkodkan sejak tahun lalu sehingga kini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.

Bagaimanapun, beliau percaya jumlah sebenar kes gangguan seksual yang berlaku adalah melebihi data rasmi diterima berikutan masih terdapat mangsa yang enggan tampil untuk melaporkan perbuatan jenayah itu.

“Terutama sekali (mangsa) lelaki tak ramai yang melaporkannya dan saya percaya kes (sebenar) adalah melebihi laporan yang diterima secara rasmi.

“Oleh sebab itu, kita adakan advokasi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mereka kenali apa yang dimaksudkan dengan anti gangguan seksual,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Langkah Kasih Merdeka KPWKM @ Advokasi Anti Gangguan Seksual yang disertai kira-kira 500 peserta di sini hari ini.

Mengulas mengenai program itu, Nancy berkata, ia bertujuan menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga kementerian bagi menangani isu gangguan seksual demi mewujudkan sebuah persekitaran selamat.

Tambahnya, KPWKM turut mengedarkan notis anti gangguan seksual bagi mengalakkan setiap organisasi termasuk premis awam dan swasta memaparkannya seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 25 Akta Anti Gangguan Seksual.

“Kita dalam proses pelaksanaan advokasi anti gangguan seksual, jadi kita sekalikan dengan penganjuran ‘fun walk’ untuk memberi kesedaran serta mengharapkan kementerian-kementerian juga dapat menampal notis ini di setiap bangunan mereka,” ujarnya.

Jelas Nancy, sebanyak 10 kementerian, jabatan dan agensi menerima notis anti gangguan seksual untuk dipamerkan di premis masing-masing sepanjang aktiviti ‘fun walk’ sejauh kira-kira tiga kilometer itu.

Katanya, antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Pejabat Ketua Hakim Negara dan Mahkamah Persekutuan.

“Penyerahan notis ini akan turut diperluaskan kepada agensi korporat dan swasta bagi memastikan usaha ini mendapat sokongan dan gemblengan tenaga semua pihak terutamanya dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap gangguan seksual.

“Selain itu, bagi mempergiatkan aktiviti advokasi ke seluruh negara, KPWKM mengadakan tiga siri Jerayawara KASIH KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual meliputi Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya