43 polis Johor ditahan kes rasuah sampel urin

37 pegawai, anggota polis ditahan berkaitan rasuah sampel urin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan 10 pegawai kanan dan 33 penolong pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) seluruh daerah Johor yang disyaki terlibat merasuah ahli patologi sejak 2018 hingga 2022.

Justeru, SPRM mengadakan operasi menahan mereka secara berperingkat bermula Februari lalu sejak disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada pemilik sampel air kencing bagi pengesanan kandungan dadah sebagai balasan menukar keputusan sampel itu.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, kegiatan tersebut dikesan susulan penahanan seorang pegawai berpangkat asisten superintenden dan dua anggota berpangkat sarjan oleh SPRM kerana disyaki merasuah ahli patologi dalam urusan ujian saringan air kencing.

Sumber berkata, seorang daripada tiga suspek itu ditahan kelmarin manakala dua lagi semalam ketika masing-masing hadir ke pejabat SPRM Johor untuk diambil keterangan.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 36 tahun hingga 54 tahun dan berkhidmat di tiga daerah  di Johor.

“Mereka ditangkap semasa hadir memberi keterangan susulan tangkapan ke atas ahli patologi sebuah hospital di Johor Bahru.

“Ketiga-tiga mereka dibebaskan selepas diberikan jamin dan keterangan selesai diambil pada hari sama.

“Setakat ini 43 orang terlibat namun 37 ditahan secara berperingkat telah diberi jamin SPRM,” katanya di sini semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tangkapan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi mengesahkan berhubung penahanan anggota berkenaan.

“Tangkapan dilakukan oleh SPRM dan bagi setiap tangkapan itu, JIPS akan membuka kertas siasatan atas kesalahan tatatertib,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN