SEPANG: Kejayaan aspek pengurusan haji oleh kerajaan Malaysia sekali lagi mendapat perhatian dunia apabila banyak negara berminat mempelajari pengalaman Tabung Haji.
Bahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata,sekurang-kurangnya ada empat negara menunjukkan hasrat tersebut.
“Semasa berada di Tanah Suci, saya ada dikunjungi ketua rombongan haji dari Thailand, Indonesia, Libya dan Turkiye mahu belajar cara Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas meraikan ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im yang julung kali dilantik sebagai menteri bertanggungjawab turut berpeluang merasai sendiri pengalaman menunaikan ibadah itu pada bulan lepas.
“Alhamdulillah, saya cukup berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan oleh Tabung Haji meskipun pergi ke sana hanya dengan pakej muassasah yang biasa sahaja,” katanya.
Pada masa sama, beliau gembira apabila berpeluang dikunjungi delegasi haji daripada pelbagai negara ketika di Tanah Suci yang mengagumi cara pengurusan oleh Malaysia sekali gus menggambarkan keyakinan dunia luar terhadap pentadbiran Tabung Haji yang bukan sahaja sistematik, bahkan teratur dalam pelbagai aspek.
Ketua-ketua rombongan haji dari negara terbabit juga memuji disiplin jemaah Malaysia yang bukan sahaja tidak menimbulkan masalah, malah berpengetahuan dalam ibadah itu.
Mohd. Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Mohammed Al-Rabiah yang banyak membantu kelancaran operasi termasuk memudahkan urusan pergerakan para jemaah Malaysia menerusi kaedah pra-pelepasan awal dikenali Makkah Route di KLIA. – UTUSAN










