32 negara bantah insiden bakar, hina al-Quran

32 negara bantah insiden bakar, hina al-Quran

MESYUARAT Sesi Luar Biasa ke-18 Majlis Menteri-menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Berhubung Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Kitab Suci al-Quran di Sweden dan Denmark. - GAMBAR IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 32 negara sebulat suara menentang kejadian penghinaan dan pembakaran al-Quran di beberapa buah negara termasuk Sweden dan Denmark sekali gus menyeru pihak terlibat tidak mengulangi kejadian itu pada masa depan.

Perkara itu disampaikan menerusi Mesyuarat Sesi Luar Biasa ke-18 Majlis Menteri-menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Berhubung Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Kitab Suci al-Quran di Sweden dan Denmark.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan, sesi berkenaan dihadiri delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin yang turut menyampaikan kenyataan negara berhubung kepentingan prinsip sejagat serta kepentingan menghormati prinsip agama.

“Malaysia menegaskan tentang pentingnya prinsip sejagat dalam menghormati agama dan kitab suci selain turut menyeru agar semua pihak berganding bahu menangani isu Islamofobia.

“Ia bagi memaparkan imej sebenar Islam sebagai agama yang membawa mesej keamanan, kesederhanaan dan toleransi,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, mesyuarat itu turut menerima pakai Resolusi Berhubung Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Kitab Suci al- Quran di Sweden dan Denmark.

Katanya, antara intipati resolusi itu adalah mengutuk sekeras-kerasnya kejadian penghinaan dan pembakaran al-Quran yang berlaku di beberapa buah negara.

“Resolusi itu termasuk memastikan semua negara anggota OIC meletakkan agenda memerangi sentimen Islamofobia sebagai salah satu keutamaan dan sentiasa diberi perhatian di dalam semua platform antarabangsa,” jelasnya.

Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, Malaysia juga kekal komited dalam menggalakkan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya kitab suci agama serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.

Mesyuarat itu diadakan secara atas talian dan dipengerusikan Menteri Luar Negeri Republik Mauritania, Mohamed Salem Ould Merzoug selaku Pengerusi Majlis Menteri Luar Negeri OIC selain dihadiri oleh 57 buah negara OIC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya