WorldSkills ASEAN Singapore: Kontinjen negara raih 10 pingat

Kontinjen Malaysia rangkul 10 pingat dalam pertandingan WorldSkills ASEAN Singapore 2023

TS DR. MOHD. Yusoff Abu Bakar (belakang, tengah) bergambar bersama barisan Kontinjen Negara WorldSkills ASEAN Singapore 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kontinjen Malaysia yang menyertai pertandingan WorldSkills ASEAN Singapore 2023 berjaya mengharumkan nama negara dengan merangkul dua pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kontinjen yang diwakili seramai 25 peserta melibatkan 16 bidang kemahiran itu turut berjaya membawa pulang lima Medallion for Excellence dalam pertandingan tersebut.

“Penghargaan juga diberikan kepada semua kontinjen iaitu peserta, pakar, jurulatih termasuk urus setia Jabatan Pembangunan Kemahiran dan agensi-agensi lain kerana memberikan komitmen yang tinggi.

PEMENANG pingat emas, Muhaimin Iskandar Zaidi (kanan) dan Muhammad Nasran Ahmad (dua, kanan) bersama pemenang pingat gangsa bergambar dalam Majlis Sambutan Kontinjen Negara
WorldSkills ASEAN Singapore 2023 di KLIA, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR

“Malaysia berjaya menduduki tempat ketiga daripada sembilan buah negara yang menyertai pertandingan tersebut.

“Justeru, pencapaian yang cemerlang ini dapat memartabatkan nama negara di peringkat antarabangsa khususnya di rantau ASEAN dan sebagai persediaan negara untuk ke WorldSkills Competition (WSC) di Abu Dhabi pada November depan,” katanya.

TS DR. MOHD. YUSOFF ABU BAKAR

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Ts. Dr. Mohd. Yusoff Abu Bakar pada Majlis Sambutan Kontinjen Negara WorldSkills ASEAN Singapore 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, di sini kelmarin.

Menurutnya, kerajaan amat menghargai dan mengiktiraf individu yang cemerlang dalam arena kemahiran dan menyediakan insentif bagi pemenang pingat di peringkat antarabangsa.

Jelas beliau, insentif sejumlah RM14,000 disediakan bagi pemenang pingat emas dalam pertandingan tersebut diikuti RM10,000 bagi pemenang yang memperoleh pingat perak, RM5,000 bagi pemenang pingat gangsa dan RM2,000 disediakan untuk pemenang Medallion for Excellence.

“Pemenang pingat emas dalam pertandingan ini juga akan dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Muhaimin Iskandar Zaidi, 22, berkata, dia sama sekali tidak menyangka dapat membawa pulang pingat emas untuk negara kerana menerima persaingan sengit daripada peserta-peserta negara ASEAN.

“Saya merupakan peserta bagi bidang ‘Electrical Installations’ dan pada pertandingan itu saya perlu melengkapkan tiga modul yang diberikan untuk memperoleh tempat pertama,” katanya.

Seorang lagi pelajar yang turut menggondol pingat emas dan dianugerahkan Best Of Nation, Muhammad Nasran Ahmad, 21, meluahkan rasa bangga dan terharu kerana berjaya mengharumkan nama negara serta IKBN Kemasik.

Menurut Muhammad Nasran yang mewakili bidang ‘hair dressing’ dalam pertandingan itu, latihan selama enam bulan akhirnya membuahkan hasil dan mahu kejayaannya itu menjadi penyuntik semangat buat pelajar-pelajar lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya