IPOH: Padah mengutip bayaran parkir secara haram, tujuh lelaki ditahan polis dalam operasi khas yang diadakan di sekitar bandar raya ini selama dua hari sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kesemua lelaki yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 40 hingga 66 tahun.
Katanya, tangkapan ke atas semua suspek dijalankan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (gangguan dan desakan menyalahi undang-undang).
“Polis memandang serius masalah penjaga parkir haram di kawasan tumpuan di sekitar pusat bandar Ipoh hingga mendatangkan gangguan kepada orang awam dan pelancong.
“Operasi-operasi khas terhadap penjaga parkir haram ini diadakan berterusan malah sejak Januari lalu, kita telah berjaya menghasilkan 42 tangkapan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi dua hari itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ipoh serta Balai Polis Pekan Bahru.
“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat bayaran kepada penjaga parkir haram dan boleh mendapatkan bantuan khidmat polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-2542222,” katanya. – UTUSAN