Tindakan saman menanti 10 bekas ADUN Warisan-Mohd. Shafie

Tindakan saman menanti 10 bekas ADUN Warisan-Mohd. Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) dalam proses memfailkan tindakan saman terhadap 10 bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melanggar syarat perjanjian yang ditangatangani semasa menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan saman itu diambil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kes bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin yang diperintahkan untuk membayar bon berjumlah RM10 juta kepada PKR.

Zuraida diarahkan membayar bon kerana melanggar syarat bon setelah beliau keluar daripada PKR pada tahun 2020.

Sepuluh ADUN Warisan yang melompat keluar dari parti itu adalah Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas), Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi), Ben Chong (Tanjung Kapor) dan George Hiew (Karamunting).

Mohd. Shafie berkata, bagi kes ADUN Sebatik, Hassan A. Gani Pg Amir yang telah diputuskan pada Jun tahun lalu, Warisan telah memfailkan rayuan bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Warisan untuk mengarahkan kerusi DUN Sebatik dikosongkan susulan tindakan Hassan keluar daripada Warisan.

Sebelum PRN 2020, kesemua 10 ADUN yang keluar parti itu telah menandatangani surat perjanjian untuk mengosongkan kerusi sekiranya mereka keluar meninggalkan selepas memenangi pilihan raya.

“Kesemua ADUN ini melanggar syarat perjanjian apabila mereka bertindak keluar daripada parti. Justeru, pihak terlibat perlu membayar kos yang ditanggung oleh Warisan yang telah menanggung perbelanjaan mereka sebagai calon dan semasa berkempen.

“Malaysia mempunyai sistem demokrasi undang-undang dan kehakiman di negara ini tidak bersifat belah sebelah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, berpegang kepada prinsip demokrasi itu, Warisan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan tindakan pengosongan kerusi bekas-bekas ADUN parti berkenaan.

Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu berkata, ADUN dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi maka, kes mereka juga harus diadili secara demokrasi.

Namun, harus diingat mereka menang atas tiket Warisan kerana disokong oleh orang yang mengundi parti Warisan dan bukannya parti lain. Tindakan lompat parti adalah tindakan yang membelakangkan amalan demokrasi dan mengkhianati kepercayaan rakyat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya