PUTRAJAYA: Ramai wanita terpaksa berhenti kerja kerana berdepan masalah menampung kos pengasuh bagi menjaga anak mereka.
Sehubungan itu Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Jumiah Jonid berkata, kerajaan perlu membuka pusat jagaan kanak-kanak dengan bantuan subsidi yuran penjagaan bagi membantu lebih ramai wanita kembali bekerja sekali gus mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan boleh memberikan bantuan terus kepada pusat jagaan tersebut yang dicadangkan dapat dimulakan di Puncak Alam, Selangor bagi membolehkan mereka menawarkan yuran lebih rendah kepada ibu bapa yang menghantar anak masing-masing.
“Terdapat kira-kira 16,000 penduduk di Puncak Alam di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram akan memperoleh manfaat daripada penubuhan pusat jagaan kanak-kanak ini sebelum diperluas di seluruh Selangor.
“Inisiatif ini dalam usaha membantu wanita dan menggalakkan wanita bekerja dapat meningkatkan ekonomi keluarga bagi menangani kos sara hidup semakin tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Jumiah berkata, golongan wanita juga boleh diberikan peluang untuk mengusahakan penubuhan pusat jagaan itu dengan sokongan insentif ditawarkan kerajaan.
Pada masa sama katanya, aspek latihan sebagai persediaan untuk penubuhan pusat jagaan itu turut diberikan agar anak-anak yang dihantar mendapat bimbingan daripada khidmat tenaga profesional.
“Sesi bimbingan dan khidmat nasihat bagi proses penubuhan pusat jagaan kanak-kanak berlesen juga akan diberikan kepada pengusaha.
“Bantuan daripada kerajaan itu diberikan terus kepada pusat jagaan tersebut. Dengan cara itu, harga yuran akan menjadi lebih rendah dan pastinya sangat bermanfaat kepada keluarga,” katanya. – UTUSAN