PETALING JAYA: Uknighted Business Club akan menganjurkan The Knights Award pada Jun ini bagi menghargai dan mengiktiraf syarikat dan usahawan di Asia Tenggara yang berjaya menonjolkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Majlis itu juga bakal menghimpunkan tokoh-tokoh industri utama di rantau ini terutama yang telah menempa kejayaan.
Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, majlis itu bakal menghimpunkan tokoh-tokoh industri utama di rantau ini yang bakal menjalin kerjasama strategik bagi membantu membangun dan mengukuhkan agenda seperti keusahawanan, pemerkasaan belia dan ekosistem perniagaan yang mampan.
Katanya, strategi dan kerjasama yang terhasil secara positif nanti diharapkan akan merangsang pertumbuhan ekonomi serta peluang untuk melahirkan kejayaan yang lebih cemerlang dalam komuniti perniagaan.
“Kelebihan The Knight Award adalah ia akan menyediakan platform rangkaian elit dan pemenang anugerah akan menerima strategi penjenamaan yang berkesan untuk meningkatkan kedudukan jenama mereka di pasaran,” katanya.
Tiga kategori pengiktirafan akan diberikan iaitu The Duke, The Earl dan The Baron. Kategori The DUKE termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik manakala The Earl merangkumi produk paling terkenal, ikon paling menonjol dan tempat kerja terbaik.
Bagi kategori The Baron pula, anugerah akan diberikan kepada syarikat yang sedang meningkat naik di rantau ini.
“Kami berbesar hati untuk melancarkan Anugerah The Knights 2023, dan kami percaya bahawa ia akan menjadi batu loncatan kepada pertumbuhan ekonomi di Asia Tenggara,” kata Wong.
Tengku Razaleigh Hamzah selaku penaung kepada majlis itu menggesa komuniti perniagaan supaya mengambil bahagian untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan komuniti perniagaan dan masyarakat secara amnya. – UTUSAN










