‘Tak perlu pun kenal saya, hanya jelaskan perincian nilai pelaburan diterima’ - Rozabil - Utusan Malaysia

‘Tak perlu pun kenal saya, hanya jelaskan perincian nilai pelaburan diterima’ – Rozabil

KERATAN Utusan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Datuk Rozabil Abd. Rahman tidak peduli sama ada Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli mengenali beliau atau sebaliknya, kerana apa yang lebih penting persoalan perincian mengenai pelaburan RM2.5 bilion itu perlu dijawab.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, Menteri Besar perlu menghormati institusi pembangkang yang mahu penjelasan mengenai nilai pelaburan tersebut memandangkan ia juga menjadi persoalan kepada rakyat.

Katanya, Menteri Besar tidak perlu mengenali beliau bagi menjawab perkara itu, namun perlu fokus memberi penjelasan kepada rakyat berhubung perincian pelaburan berkenaan.

“Pelaburan itu adalah berkaitan pembangunan ekonomi di Perlis dan sudah semestinya semua pihak berhak mendapatkan maklumat jelas berhubung perkara itu.

“Kenal atau tidak Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis bukan persoalan utama namun rakyat Perlis juga perlu tahu.

“Malah perkara ini juga bukan soal mahu menimbulkan polemik tapi berkaitan pembangunan ekonomi di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan gesaan Badan Perhubungan UMNO Perlis agar kerajaan negeri memperincikan senarai dan nilai pelaburan baharu membabitkan RM2.5 bilion yang didakwa telah berjaya dibawa masuk ke negeri ini hanya dalam tempoh tujuh bulan.

Susulan itu, Mohd Shukri sewaktu berucap pada program munajat perdana dan himpunan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Perlis bersama solidariti untuk Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kompleks Pas negeri kelmarin memaklumkan kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang gesaan disuarakan pihak terlibat yang cuba membangkitkan polemik berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Rozabil berkata, beliau akan terus menuntut agar Menteri Besar menjawab persoalan tersebut.

“Mereka dilihat cuba mengelirukan rakyat dengan cerita-cerita dongeng kejayaan kerajaan pimpinan PN terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Lain yang ditanya, lain pula yang dipersoalkan oleh Menteri Besar dan tindakan mereka ini seolah-olah mahu mengelirukan rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya