Suspek kes lawan arus tuduh esok 

Suspek kes lawan arus tuduh esok 

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suspek kes kemalangan lawan arus yang menyebabkan kematian seorang lelaki di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang pada 14 Jun lalu akan dituduh esok.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek di mahkamah pada Isnin ini.

“Suspek akan didakwa pagi esok di bawah Seksyen  4(1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya ringkas di sini hari ini.

Jun lalu, media melaporkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati maut akibat terjatuh dari jejambat SUKE berhampiran Ulu Kelang.

Dalam kejadian pada 1.05 tengah hari itu, mangsa berusia 60-an dari arah Ampang dalam perjalanan memasuki susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ulu Kelang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 12 saat memaparkan kemalangan itu berlaku akibat sebuah motosikal melawan arus hingga tular di media sosial.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail dilaporkan berkata, pihaknya telah mengambil keterangan suspek setelah individu berkenaan tampil membuat laporan polis semalam berhubung dengan kemalangan terbabit di Balai Polis Trafik Kajang.

“Suspek adalah lelaki berusia 41 tahun bekerja sebagai peniaga makanan menetap di Kajang.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tetapi tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN