STPM: Sahabat baik kongsi kegembiraan raih PNGK 4.00 - Utusan Malaysia

STPM: Sahabat baik kongsi kegembiraan raih PNGK 4.00

LIEW Ray Hong (kanan) dan Lee Sim Yee (kiri) yang merupakan calon STPM SMK Lelaki Methodist, Ayer Itam, Pulau Pinang berjaya memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM 2022 yang diumumkan hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Dua sahabat baik berkongsi kegembiraan selepas berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan hari ini.

Liew Ray Hong, 20, dan Lee Sim Yee, 21, yang merupakan calon STPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lelaki Methodist di sini berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Ray Hong dan Sim Yee yang bersahabat baik sejak berusia 17 tahun dan berasal dari Bayan Lepas dekat sini berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang serta pentadbiran perniagaan di Universiti Malaya (UM) selepas ini.

Menurut Ray Hong, segala usahanya termasuk tidak tidur selama 24 jam ketika menghadapi peperiksaan Sejarah dan Pengajian Am berbaloi dengan keputusan cemerlang hari ini.

”Peperiksaan STPM memang sukar dan saya memang mengulang kaji bersungguh-sungguh semasa menghadapi peperiksaan ini.

”Saya tidak tidur selama 24 jam ketika menjawab peperiksaan bagi mata pelajaran Sejarah dan Pengajian Am dan keputusan hari ini memang tidak saya jangka kerana dapat memperoleh PNGK 4.00,” katanya selepas pengumuman keputusan STPM di SMK Lelaki Methodist, di sini hari ini.

Keputusan STPM bagi peringkat Pulau Pinang itu diumumkan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad.

Menurut Ray Hong, biarpun dia dan Sim Yee tidak mengulang kaji pelajaran bersama-sama mereka sering bertukar-tukar nota pelajaran bagi memastikan lebih faham setiap subjek yang diambil.

”Kami bersahabat baik sejak lama dan persahabatan kami menjadi pendorong untuk kami saling berusaha mengejar impian masing-masing.

“Saya akan meneruskan cita-cita sebagai peguam manakala Sim Yee pula mahu menjadi ahli perniagaan dan bercadang melanjutkan pengajian di UM dalam bidang pentadbiran perniagaan ,” katanya.

Dalam pada itu, Sim Yee berkata, dia juga tidak menyangka dapat memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM kerana kesemua subjek amat sukar.

”Saya turut mengambil kelas tuisyen online bagi mata pelajaran Pengajian Am kerana subjek ini amat sukar dan saya gembira kerana rakan baik saya turut memperoleh keputusan cemerlang hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya