KUALA LUMPUR: Malaysia berpeluang mengenengahkan bakat dalam bidang inovasi di peringkat global menerusi Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 (Sidang Kemuncak MCY 2023),
yang akan berlangsung pada 3 dan 4 Ogos ini, di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar Selatan, di sini.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, sidang kemuncak itu akan menumpukan kepada usaha memperkukuh antara pelbagai pihak yang membentuk ekosistem teknologi negara ini.
“Sidang kemuncak ini berperanan sebagai saluran bagi mempamer dan meraikan penyelidikan dan pembangunan yang berjaya dikomersialkan, barangan serta perkhidmatan inovatif oleh industri tempatan, institusi pengajian tinggi dan agensi penyelidikan.
“Selain itu, program ini juga bertujuan menyokong pencipta tempatan dalam arena sains, teknologi dan inovasi yang akan merangsang lebih banyak penciptaan pekerjaan dan nilai serta
meningkatkan daya saing.
“Pada hari tersebut juga akan mengumpulkan para penginovasi, penyelidik, pelabur dan peneraju industri serta menawarkan mereka peluang untuk terlibat dalam sesi dialog selain membina kerjasama dengan 60 pempamer mempamerkan produk ciptaan mereka.
“Oleh itu, produk dan perkhidmatan yang dipamerkan telah diuji dalam persekitaran sebenar dan sedia untuk dipasarkan,” katanya dalam kenyataan. Malaysian Research Accelerator for Technology and Inovation (MRANTI) memainkan peranan penting dalam mempercepatkan proses pengkomersilan penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R,D&I) dengan memupuk perkongsian dan kerjasama.
Sebagai rakan kongsi strategik untuk Sidang Kemuncak MCY tahun ini, MRANTI dipilih kerana peranannya sebagai Pemecut Pengkomersilan Teknologi (TCA). MRANTI dalam kenyataan berkata, Sidang Kemuncak MCY
2023 mula diperkenal pada 2016 sebagai saluran untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dan potensi inovasi tempatan yang berpotensi dikomersialkan.
Bermula tahun itu sehingga 2021, 49 daripada 434 produk, teknologi dan perkhidmatan R,D&I tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan nilai jualan sebanyak RM476 juta.
Pada tahun lalu, lebih RM50 juta dalam bentuk nilai diperoleh pada sidang kemuncak itu hasil memorandum dan perjanjian persefahaman melibatkan produk teknologi dan perkhidmatan yang dikomersialkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar berkata, objektif utama Sidang Kemuncak MCY selaras dengan agenda nasional dan inisiatif MRANTI untuk mempromosi kelestarian
pengkomersialan menerusi tiga strategi utama.
Katanya, strategi itu adalah membentuk kolaborasi strategik dan kuat, memecutkan inovasi ke pasaran dan membina saluran R&D dan pengkomersialan harta intelek yang kukuh.
“Sidang Kemuncak MCY 2023 ialah acara yang tidak boleh dilepaskan untuk pencipta, perniagaan, ahli akademik dan badan kerajaan untuk memanfaatkan kemungkinan membina prospek yang boleh bersama-sama membawa inovasi Malaysia ke peringkat global,” katanya.
Layari https://mcyportal.mosti.gov.my/mcy-summit-2023 untuk maklumat lanjut berkaitan Sidang Kemuncak MCY 2023. – UTUSAN










