PETALING JAYA: ““Siapa yang cakap saya sindir? Saya tak mahu komen mengenai hal tersebut.”
Itu jawapan penyanyi, Bella Astillah yang menafikan dakwaan dia menyindir busana yang digayakan pelakon, Sophia Albarakbah ketika menghadiri sebuah majlis anugerah hiburan baru-baru ini.
Jelas Bella, sebarang kenyataan atau gambar yang dimuat naik di media sosialnya tidak ditujukan kepada mana-mana pihak tidak kira selebriti atau individu tertentu.
“Macam yang semua tahu, apa sahaja yang dimuat naik di Instagram termasuk qoutes tidak semestinya bertujuan untuk menyindir atau sengaja ditujukan kepada sesiapa.
“Sama juga dengan Instastory saya baru-baru ini. Tidak ditujukan kepada sesiapa pun,” katanya.
Dalam pada itu, Bella berkata, dia tidak pernah berasa rimas apabila kisah rumah tangganya menarik perhatian warganet dan sering menjadi bahan bualan ramai.
“Semua ada hak masing-masing. Hidup saya hanya bergerak ke depan. Terpulang untuk anda menilai.
“Setakat ini tidak pernah pula rasa rimas bila orang asyik kaitkan, sebab saya faham orang prihatin.
“Terima kasih sebab ramai sayangkan saya dan suami. Ramai mendoakan untuk rumah tangga kami,” kongsinya.