Shila Amzah nikah Ogos depan - Utusan Malaysia

Shila Amzah nikah Ogos depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shila Amzah, 33, memberi bayangan bakal mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya Ubai yang merupakan seorang pempengaruh pada Ogos depan.

Bagaimanapun, janda anak satu itu berkata, tarikh sebenar pernikahan bersama Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli hanya akan diumumkan selepas bakal ibu mentuanya yang menghidap kanser ovari keluar hospital.

“Tarikh memang sudah dekat, cuma ibu mentua masih di hospital. Jadi, selagi itu belum boleh dedahkan apa-apa lagi.

“Lepas ibu mentua keluar hospital baru kita akan umumkan tarikh dan kami akan buat live dalam media sosial. Ibu mentua saya masih perlu menjalani radioterapi terakhir pada hari esok dan proses kimoterapi yang keenam.

“Jadi, selepas itu baru kita boleh lihat bagaimana keadaannnya sebab ibu mentua memang berhasrat untuk berada semasa majlis pernikahan kami nanti,” katanya semasa ditemui selepas sidang akhbar konsert Rockmantic Night Judika & The Gang di Pavilion, di sini hari ini.

Disoal persediaan menjelang hari bahagia, penyanyi lagu Patah Seribu ini berkata, segala persiapan berjalan seperti biasa kerana semua urusan penting perlu diselesaikan pada Ogos depan, sebelum dia akan bertolak ke China pada September.

Shila malah bersyukur kerana mempunyai bakal mentua yang sangat baik serta sentiasa memberikan sokongan terhadap segala keputusan yang mereka lakukan.

“Saya rapat dengan bakal ibu mentua. Malah, kalau ada perancangan untuk berpindah ke China (tuntutan kerjaya) dia sentiasa bagi galakan. Saya ini sudah seperti anak dia sendiri.

“Apapun, kami akan utamakan kesihatan ibu mentua terlebih dahulu. Tarikh dan borang nikah semua sudah selesai,” katanya.

Bakal mentua Shila, Rohani Jamal, 52, disahkan kanser ovari tahap tiga sejak enam bulan lalu yang turut mengakibatkannya tidak dapat berjalan.

Ubai pula bagai ditimpa dugaan bertubi-tubi selepas adik lelaki yang menjaga ibu mereka pula meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya pada 3 Mei lalu.

Mei lalu, Ubai dah Shila mengejutkan ramai apabila berkongsi gambar pertunangan mereka dalam media sosial.

Untuk rekod, Shila bercerai talak satu dengan Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun berkahwin. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Seth Uwais.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN