Jika anda merupakan seorang peminat rock tegar, pastinya Konsert Ulang Tahun Ke-20 Lapan Lagenda Rock Satu Malam, Satu Pentas yang bakal berlangsung pada 29 September ini adalah jawapannya.
Di barisi lapan lagenda tersohor iaitu, Datuk Nash (Lefthanded), Joey (Bumiputera Rockers), Aris (Ariwatan), Yantzeen (Rusty Blade), Rahmad (Mega), Jatt (Black Dog Bone), Muss dan Bandi (Amuk) sudah pasti memberi impak tersendiri, malah kemampuan mereka pasti tidak diragukan lagi.
Konsert yang berdurasi lebih dua jam ini merupakan kesinambungan daripada rilisan album kompilasi Semangat Zaman yang pernah diterbitkan oleh Komposer terkenal, LY pada tahun 2004 dan 2005 lalu.
Tidak dinafikan rilisan tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila laris dan terjual melebihi 100 ribu unit. Satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi sebuah kompilasi penyanyi rock tanah air.
Jika dilihat segenap sudut, barisan artis yang diketengahkan dalam konsert ini bukanlah insan baharu dalam dunia seni, malah mereka sudah mengecapi kejayaan bersama kumpulan yang pernah diterajui sebelum ini, termasuklah pengalaman beraksi di pentas dan koleksi lagu-lagu hits yang masih menjadi siulan peminat sehingga ke hari ini.
Ketiadaan Shamrin (Fotograf) yang meninggal dunia pada 2010 lalu pastinya dirindui peminat, namun dilihat tidak menjejaskan perancangan konsert apabila posisinya akan digantikan oleh Bandi (Amuk) yang dilihat bertepatan dengan tema yang ingin diketengahkan.
Hasrat penyanyi Rahim Maarof yang pada awalnya menyatakan persetujuan untuk turut sama dalam konsert ini juga tidak kesampaian apabila masih belum pulih dari masalah kesihatan.
Menurut innovator industri muzik, Jean Lau idea konsert ini tercetus apabila melihatkan kejayaan dua buah album terdahulu sehinggalah dia sendiri memberi cadangan kepada komposer LY untuk melaksanakan konsert tersebut.
“Apabila kita melihat kejayaan dari album yang dihasilkan terdahulu, tidak salah jika kita realisasikan di atas sebuah pentas, malah mungkin peminat lebih teruja untuk menyaksikan persembahan secara ‘live’ oleh lagenda rock itu sendiri.
“Kehadiran Bandi sebagai dalam konsert ini juga pastinya akan memberi nafas baharu dalam Semangat Zaman, dan pastinya konsert pada malam tersebut akan menjadi konsert pertama di mana berkumpulnya ikon-ikon rock tanah air di atas satu pentas,” ujarnya.
Lambakan persembahan pentas melibatkan pelbagai genre kumpulan rock ketika ini juga dilihat bukanlah kayu ukur untuk menafikan sambutan peminat terhadap konsert yang bakal diadakan ini. Peminat pastinya matang dalam menilai ‘value’ artis itu sendiri terutamanya apabila melibatkan nama-nama besar dalam industri.
Bukan sekadar retorik, malah segalanya terbukti pada angka jualan yang diterjemahkan sebelum ini.
Komposer LY yang merupakan tulang belakang bagi penganjuran konsert ini juga merupakan individu hebat yang telah berjaya menghasilkan ratusan lagu-lagu ‘berhantu’ serta melahirkan insan-insan seni dari pelbagai latar belakang sehingga dikenali hari ini.
Menurut LY, pada malam itu juga lima buah lagu duet baharu akan dipersembahkan selain dari lagu-lagu hits sedia ada dendangan mereka yang terdahulu.
“Ini merupakan sejarah apabila dapat mengumpulkan ikon-ikon rock tanah air di atas satu pentas. Bukan sekadar meraikan mereka, malah kita juga akan menjemput keluarga arwah Shamrin dan keluarga Rahim Maarof untuk bersama-sama pada malam itu nanti,” ujarnya.
Bagi yang ingin mendapatkan tiket untuk menonton konsert ini bolehlah layari: my.bookmyshow.com atau hubungi: 03-9212 4202.
Tiket-tiket berharga dari RM208 hingga RM388. Peminat juga boleh mendapatkan harga istimewa (early bird) RM198 sebelum tarikh 16 Julai ini.
Tunggu apa lagi? Jom kita head banging brader!