BARU-BARU ini Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, sebanyak 63 peratus calon yang dikemukakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini merupakan calon muka baharu dengan 18 peratus adalah penyandang sedia ada dan dicalonkan semula.
Antara nama yang disebut, MOHD. NAJIB MOHD. ISA, dipilih sebagai calon BN DUN Bagan Pinang.
Umum tahu, Mohd. Najib merupakan anak bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan pada masa yang sama, musim pilihan raya kali ini juga menyaksikannya akan bertanding bersama ibunya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid.
Bersama wartawan Utusan Malaysia, SITI ATHIRAH DZULKIFLY, Mohd. Najib menjawab persoalan mengenai kedudukannya selaku calon PRN.
Dicalonkan di DUN Bagan Pinang, boleh ulas mengenai pemilihan ini?
Pencalonan datangnya daripada pucuk pimpinan parti. Pun begitu, apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur kerana semua yang berlaku adalah atas izin dan rahmat-Nya. Saya diberikan amanah ini yang bagi saya satu tanggungjawab cukup besar. Saya juga nyatakan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti yang telah berikan kepercayaan kepada saya untuk membawa bendera parti dalam PRN kali ini.
Kedudukan sebagai anak bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menjadi bualan ramai, apalagi turut bertanding bersama ibu, Puan Sri Bibi Sharliza.
Saya bukan baharu dalam era politik ini. Saya pernah pegang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian dari 2004 hingga 2013. Kemudian 2013 hingga 2023 saya galas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO Port Dickson. Saya juga pernah pegang jawatan Exco Pemuda UMNO Malaysia dan sekarang saya sebagai Timbalan Ketua UMNO Port Dickson. Jadi, baik saya, bapa atau ibu, kami masing-masing ada jalan politik dan trek rekod sendiri. Berdasarkan trek rekod ini, kerjaya dan pengalaman, saya yakin boleh berkhidmat untuk masyarakat. Tak ada timbul isu saya anak bekas Menteri Besar dan sebagainya. Lagipun, bapa saya sudah lama pencen. Dia tak pegang jawatan sejak 2018. Ibu saya pun ada laluan politiknya sendiri. Sebagaimana yang umum tahu, dia pernah pegang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian dan sekarang Ketua Wanita Negeri. Jawatan yang kami sandang semuanya kami menang bertanding. Alhamdulillah, perwakilan yang memilih dan beri kepercayaan pada kami.
Apa strategi yang mungkin akan diguna pakai nanti?
Strategi tak ada apa sangat. Macam biasa, saya akan jumpa seramai mungkin para pengundi. Itu sajalah, tak ada yang spesifik.
Bagaimana kemenangan dapat berpihak kepada BN kali ini?
Saya yakin dan percaya pengundi akan betul-betul menilai parti mana yang mereka akan pilih. Kalau diikutkan, dari segi khidmat bakti yang telah BN laksanakan selama ini, kita boleh lihat BN dan UMNO ada di mana-mana sahaja. Saya rasa tak susah untuk rakyat memilih bagi mewakili mereka dalam PRN akan datang. Trek rekod parti pun tak ada masalah. Jasa BN dan UMNO terlalu banyak.
Komen dakwaan mengatakan BN dan UMNO seringkali terpalit pelbagai isu?
Isu memang akan ada. Isu akan timbul setiap kali ada pilihan raya. BN akan cuba jelaskan sebaik mungkin sebarang isu yang akan beri kesan kepada kepercayaan masyarakat bagi meleraikan pandangan yang negatif. Saya yakin, apabila kita sudah berikan penjelasan dengan baik, insya-Allah, akhirnya masyarakat akan dapat fikir dengan baik. Lagipun kalangan masyarakat sekarang pun sudah bijak, mereka tahu isu akan timbul setiap kali menjelang pilihan raya. Selepas saya mengundi, isu automatik hilang dan orang pun menjalani hidup seperti biasa. Siapa nak uruskan kehidupan masyarakat? Yang ada rekod yang baik dalam pengurusan masyarakat adalah BN dan UMNO. Dalam keadaan sekarang, saya yakin dan percaya, calon yang diketengahkan adalah calon yang tepat dan boleh buat kerja, boleh berkhidmat kepada masyarakat. Bukan atas dasar isu-isu yang dimainkan. – UTUSAN










