'Saya perlu kuat untuk jaga empat cucu yatim piatu' - Utusan Malaysia

‘Saya perlu kuat untuk jaga empat cucu yatim piatu’

NORAINI Ahmad bersama cucunya ketika ditemui Kampung Serkai Jadi, Tronoh dekat Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Wanita yang terselamat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan anak lelaki dan menantunya di Gopeng baru-baru ini tekad untuk menjaga empat cucunya yang menjadi yatim piatu sekelip mata.

Noraini Ahmad, 63, memandu kereta dinaiki menantunya, Kisdalliana Saad dan anak lelakinya, Mohd Ramddan Abd Rahim sebelum pasangan suami itu maut dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu di Gopeng pada 11 Julai lalu.

Pasangan suami isteri itu meninggalkan empat anak iaitu Nur Fatin Syafikah, 18, Muhammad Ikhman Hafifi, 17, Muhammad Aiman Daniel Mohd Ramddan, 13 dan Nur Fatihah Najihah,7.

Noraini berkata, dia tidak menyangka kehilangan anak dan menantu serentak dalam kemalangan tersebut.

“Pada hari kejadian, anak saya, Mohd. Ramddan ada sedikit perubahan iaitu tiba-tiba sahaja suka mengambil gambar, selama ini, dia tidak gemar ‘selfie-selfie’ ini.

“Tak sangka itu perubahan dan kenangan yang ditinggalkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Serkai Jadi, Tronoh di sini hari ini.

Menurut Noraini, dia perlu kuat walaupun masih dalam rawatan dan pemantauan pihak hospital akibat cedera parah dalam kemalangan tersebut, untuk menjaga cucu-cucunya.

Noraini berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan untuk menghantar bantal dan beberapa keperluan lain untuk cucunya, Nur Fatin Syafikah yang baru sahaja berdaftar di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng.

“Kemalangan berlaku ketika saya mengelak anjing yang melintas dan apabila saya sedar, saya sudah pun berada di hospital.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk menjaga cucu-cucu saya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tiee Siang berkata, pihaknya akan mengambil kempat-empat cucu Noraini menjadi anak angkat kepada Pusat Khidmat DUN Tronoh dengan bantuan bulanan RM200 kepada setiap mereka selama setahun.

“Sekiranya ada keperluan untuk melanjutkan bantuan tersebut, kamu akan cuba sedaya upaya mencari dana untuk membantu mereka,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah memberi bantuan kecemasan sebanyak RM300 kepada keluarga mangsa.

“Tiga beradik kecuali anak sulung, Nur Fatin Syafikah akan melalui permohonan bantuan kanak-kanak daripada JKM.

“Nur Fatin Syafikah telah melebihi had umur bantuan tersebut, tetapi kami akan cuba mencari bantuan lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN