Saya bukan jual LGBT atau pondan - Fizz Fairuz - Utusan Malaysia

Saya bukan jual LGBT atau pondan – Fizz Fairuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAT Tudung Begins menerima pelbagai reaksi bercampur baur meskipun filem ini belum lagi menjengah pawagam seluruh negara.

Penerbit, pelakon dan pengarahnya, Datuk Fizz Fairuz antara yang paling terkesan apabila dituduh cuba mengangkat golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) dengan mengetengahkan karakter lelaki berpakaian wanita selain menampilkan pempengaruh asal Indonesia, Mimi Peri dalam filem tersebut.

Fizz bukan sahaja dihujani komen negatif, malah teguran daripada golongan agamawan berkenaan perkara tersebut.

Pelakon tersebut sempat memberi penjelasan ketika ditemui pemberita semasa sesi fotografi dan wawancara yang diadakan di Lyf Hotel, baru-baru ini.

Fizz menafikan dakwaan netizen yang dia cuba mengangkat dan mempromosikan golongan tersebut menerusi filem berkenaan.

Sebaliknya, katanya, ada mesej berguna yang lebih besar yang terkandung dalam filem itu yang selayaknya diberi perhatian.

“Saya terima banyak respons tentang filem ini sejak saya paparkan posternya dalam media sosial. Saya akui selain netizen, ada juga golongan agamawan yang menegur saya tentang isu berpakaian wanita dan sebagainya.

“Saya bukannya hendak menjual ideologi LGBT mahupun pondan. Sebaliknya, nilai moral dan penyelesaian yang terkandung di dalamnya.

“Kalau boleh saya hendak jemput agamawan berkenaan menonton filem ini supaya mereka jelas dengan niat sebenar saya yang jauh sekali mempromosikan fahaman LGBT seperti yang didakwa ramai pihak,” katanya.

Mat Tudung Begins merupakan prekuel kepada filem Mat Tudung yang ditayangkan pada tahun 2014.

Filem tersebut, yang dihasilkan dengan konsep berlainan, turut menampilkan barisan pelakon seperti Achey Bocey, Isyariana, Maryam Durian Kimci dan ramai lagi.

Bercakap tentang kemunculan Mimi dalam filem tersebut, Fizz memaklumkan pempengaruh berkenaan mempunyai tarikan yang memberi nilai tambah kepada filem tersebut.

Trend sekarang guna pempengaruh untuk jual produk. Saya pula memang berkawan baik dengan Mimi Peri.

“Saya tak boleh halang dia berpakaian wanita kerana itu adalah sebahagian jenamanya sebagai pempengaruh media sosial.

“Tetapi saya tegaskan dengan menampilkan dia bukan bermaksud saya mengangkat LGBT, sebaliknya cerita dan penyelesaian dalam filem ini,” jelasnya.

PANDANG BAKAT, BUKAN POPULARITI

Mengulas pemilihan pelakon, Fizz memaklumkan dia berpuas hati dengan barisan artis yang dipilih menjayakan filem tersebut. 

Tegasnya juga, pemilihan mereka bukan berdasarkan rupa atau populariti, sebaliknya bakat yang dimiliki masing-masing.

“Saya dari awal lagi memang cari pelakon yang benar-benar berbakat. Saya khuatir cerita tak sampai kalau saya pilih pelakon berdasarkan rupa.

“Saya kagum dengan Maryam yang memberi komitmen penuh. Isyariana pula berjaya berikan lakonan yang saya mahukan, manakala Achey seperti biasa, ‘pukul’ habis.

“Dari segi populariti saya tak perlu risau kerana saya percaya setiap daripada mereka ada pengikut sendiri. 

“Sebagai penghargaan, saya bercadang ingin menjemput peminat setiap pelakon dan peminat filem ini untuk hadir menonton Mat Tudung Begins sempena malam galanya yang akan berlangsung pada Jumaat ini,” kongsinya.

Mat Tudung Begins bakal menjengah pawagam seluruh negara bermula 3 Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya